KUALA LUMPUR – Cubaan seorang remaja lelaki memecah mesin ATM di sebuah pasar raya di Jalan Peel di sini gagal apabila diberkas sebaik kegiatannya disedari pengawal keselamatan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian disedari melalui kamera litar tertutup (CCTV) kira-kira jam 2.45 pagi, semalam.
“Berdasarkan video CCTV, suspek yang hanya berseluar pendek dan menutup kepala menggunakan kain cuba memecahkan mesin ATM. Manakala seorang lagi rakannya menunggu di luar pintu masuk pejabat pasar raya.
“Menyedari kegiatan tersebut, pengawal keselamatan bertindak menghubungi polis sebelum mengunci semua pintu keluar masuk pasar raya berkenaan,” katanya.
Katanya, suspek berusia 21 tahun itu kemudiannya ditemui bersembunyi dalam keadaan meniarap di bawah tempat simpanan barang di dalam stor tukang cuci pasar raya.
“Suspek bagaimanapun bertindak agresif dengan cuba melarikan diri serta bergelut dengan pegawai dan anggota polis sebelum berjaya ditangkap.
“Hasil pemeriksaan ke atas beg dipakai suspek, polis menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk menyamun, sebuah telefon bimbit, topi serta dompet berjenama,” katanya.
Menurut Mohamad Roy Suhaimi, siasatan awal mendapati suspek merupakan bekas pekerja pasar raya tersebut sebelum berhenti pada Jun 2014.
“Suspek memasuki pasar raya itu dengan memecahkan beberapa kunci mangga di pintu masuk pejabat pasar raya sebelum melarikan diri selepas alat penggera keselamatan berbunyi.
“Pemeriksaan turut menemui beberapa peralatan memecah ATM dipercayai digunakan suspek di kawasan letak kereta. Antaranya mesin grander, segulung wayar elektrik berserta soket dan sepana,” katanya.
Katanya, polis kini sedang giat mengesan seorang lagi rakan suspek yang melarikan diri,” katanya.
-Sinar Harian