JOHOR BAHRU: Polis menafikan kejadian dua kanak-kanak berusia lima dan enam tahun yang didakwa diculik suspek berpurdah di Jalan Junid, Muar, dekat sini, kelmarin, yang menjadi viral di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, situasi sebenarnya ialah kedua-dua kanak-kanak berkenaan yang sedang bermain di halaman rumah telah diambil oleh ibu kandung mereka.
“Tiada sebarang penculikan berlaku kerana ibu kandung kedua-dua mangsa telah membuat laporan polis mengatakan mengambil kanak-kanak berkenaan di rumah suaminya.
“Siasatan awal polis mendapati keluarga mereka mempunyai masalah rumah tangga,” katanya.
Selain itu, Azman berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci dan akan serahkan kepada Jabatan Agama Islam untuk tindakan seterusnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu berhubung sebarang kejadian jenayah agar tidak mengganggu proses siasatan pihak polis.
“Kes penculikan adalah perkara serius, mungkin boleh membahayakan keadaan mangsa. Kita harap orang ramai yang tidak mempunyai fakta tepat agar tidak menyebarkan maklumat sewenang-wenangnya,” katanya.
Sebelum ini, heboh di laman sosial mengenai kejadian dua kanak-kanak dikatakan diculik seorang lelaki dan seorang wanita memakai purdah yang menaiki kereta jenis Proton Persona berwarna hitam di Jalan Junid, Muar, kelmarin.
– Sinar Harian