KOTA TINGGI: Gara-gara sebuah treler terbalik di Kilometer 28 Jalan Johor Bahru – Mersing berhampiran Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), pengguna jalan raya terpaksa menanggung kesesakan trafik sejauh kira-kira dua kilometer, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Rahmat Othman berkata, kejadian itu juga menyebabkan kesesakan selama lima jam dari 6.30 pagi apabila kren untuk mengalihkan treler jenis Hino itu lambat sampai.
Bagaimanapun katanya, keadaan trafik kembali pulih pada jam 11.30 pagi selepas treler terbabit dialihkan.
Beliau berkata, kejadian itu berpunca selepas treler terbabit terlibat kemalangan kira-kira jam 4.30 pagi.
Jelasnya, treler itu yang membawa muatan air mineral datang dari arah Mersing menuju Johor Bahru.
“Kemalangan berlaku apabila tayar belakang sebelah kiri treler terbabit termasuk ke dalam longkang menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbalik di atas jalan.
“Pemandu yang berusia 51 tahun beralamat di Kampung Pangkalan Batu, Mersing, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Rahmat berkata, hasil siasatan mendapati tempat kejadian adalah jalan dua hala ke Johor Bahru dan Mersing di mana terdapat pembahagi jalan batu di tengahnya.
Manakala, setiap hala mempunyai dua lorong laluan dan ketika kejadian keadaan gelap meskipun terdapat lampu.
Kes tersebut disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59.
– Sinar Harian