Apa rahsia band rock Def Leppard mampu bertahan hingga hampir empat dekad?
Penyanyinya, Joe Elliott berkata, hubungan baik sesama mereka selain semua anggotanya ‘sekepala’ ialah faktor utama membuatkan band yang ditubuhkan di Sheffield, England pada 1977 itu terus wujud hingga hari ini.
“Dari segi muzik, kami tahu apa yang kami mahukan. Kami bersetuju dan tidak bersetuju dalam banyak perkara, tetapi ia akhirnya diselesaikan dengan baik,” katanya.
Selain Elliott, Def Leppard turut dianggotai Vivian Campbell (gitar), Phil Collen (gitar), Rick Savage (bass) dan Rick Allen (dram).
Def Leppard yang diiktiraf sebagai antara pelopor New Wave of British Heavy Metal ini sudah menghasilkan 11 album sejak 1980.
Antara lagu popular mereka ialah Pour Some Sugar On Me, Love Bites, Hysteria, Let’s Get Rocked, Have You Ever Needed Someone So Bad, Two Steps Behind dan When Love And Hate Collide.
Menurut Elliott, jika seorang daripada mereka mengalami masalah atau tidak bersetuju dengan anggota lain, mereka akan membiarkan dia bersendirian.
“Biarkan dia bersendirian. Kebiasaannya selepas tiga minggu, semuanya akan kembali seperti sediakala. Kadang-kadang ia mengambil masa tiga minit saja!
“Apabila anda sudah bersama selama 38 tahun, tempoh tiga minggu itu ibarat sekelip mata saja. Ia bukan satu masalah sebenarnya,” katanya.
Elliott berkata, mereka juga bukan berasal daripada keluarga berada dan ia membuatkan mereka mudah memahami antara satu sama lain.
“Kalau boleh kami tidak mahu melalui hidup susah seperti ketika remaja. Pekerjaan (bermain muzik) yang kami lakukan sekarang adalah minat kami, jadi ia menjadikan semuanya mudah,” katanya.
Dalam pada itu, Def Leppard kini tampil dengan album studio ke-11 mereka berjudul Def Leppard yang dipasarkan sejak 30 Oktober lalu.
Album terakhir mereka ialah Sparkle Lounge pada 2008 dan ia adalah tempoh paling lama mereka tidak memiliki album sejak 1980.
Album terbabit dengan single Let’s Go mencatat jualan lebih 30,000 unit selepas seminggu dipasarkan dan menduduki tangga ke-10 carta Billboard 200.
Elliott berkata, dari segi ‘sound’ atau bunyi, album berkenaan mengandungi segala-galanya mengenai Def Leppard.
“Kami memanggilnya Def Leppard kerana itu ‘sound’ kami. Ia tidak mewakili mana-mana era Def Leppard sebelum ini, tetapi mengandungi segala-galanya.
“Ia mengandungi lagu akustik, berat, lembut, balada dan pantas. Semuanya ada di situ dan sebab itu kami meletakkan judul album ini Def Leppard kerana seperti juga kumpulan Queen sebelum ini, kami mampu menghasilkan pelbagai jenis susunan muzik dan lagu,” katanya.
– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/97562#sthash.tm0EmeGQ.dpuf