JANGAN cuai! Itu peringatan jurulatih Puchong United, Jiva Nair kepada pemainnya menjelang perlawanan keenam saingan Purple League menentang Nusajaya BC di Sport Arena Sentosa, hari ini.
Jiva Nair berkata, penyakit leka perlu diatasi terutama barisan beregu lelaki jika tidak mahu nasib sama berulang pada perlawanan itu nanti.
“Kita sepatutnya boleh catat kemenangan sempurna pada perlawanan menentang Ampang Jaya BC tempoh hari, tetapi kita lakukan kesilapan dalam acara beregu lelaki.
“Mereka dilihat banyak buat kesilapan mudah, hilang fokus dan benarkan lawan untuk ambil kesempatan. Mungkin kerana leka mahu tamatkan permainan dengan cepat selepas menang dua set pertama. Kita akan perbaiki kesilapan ini pada perlawanan akan datang,” katanya.
Pada perlawanan itu, kemenangan seharusnya menjadi milik Puchong United lebih awal, namun Victor Ong yang berpasangan dengan Yoo Yeong Seong, pemain di ranking nombor satu dunia bagi acara beregu, dikejutkan dengan kekalahan kepada Chin Chuan Jue-Kim Astrup
Sorensen yang bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menang 3-2.
Keadaan itu memaksa Puchong mengharapkan kemenangan daripada pemain Korea Selatan, Son Wan Ho dan pemain nombor sebelas dunia tidak menghampakan apabila berjaya menundukkan Ronald dengan 3-0 (11-9, 11-4, 11-7) dalam masa 26 minit, sekali gus melonjak ke tangga kedua, dibezakan dengan 40 perlawanan di belakang Muar City BC.
Terdahulu, Hsueh Hsuan Yi beraksi baik apabila menghadiahkan pendahuluan 3-0 selepas menewaskan Syawal Ismail 11-6, 11-7, 11-6 dalam masa 25 minit sebelum perseorangan wanita, Wan Yi Tang menggandakan kelebihan Puchong United BC apabila menang 8-11, 4-11, 11-7, 9-11.
Pasangan beregu campuran, Chen Wen Hsing-Yew Hong Kheng terus melebarkan kelebihan buat Puchong United menerusi kemenangan 11-8, 11-10, 11-3 ke atas Kuan Kam Chung-Ng Hui Ern, menjadikan kedudukan 6-0.-sinar harian