PANGKOR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi saranan buat kesemua penggiat seni untuk terus menghasilkan puisi yang relevan dengan menggabungkan aspek futuristik dan zaman lampau.
Ujarnya lagi, penghasilan puisi itu berdasarkan situasi generasi Y dan generasi X kini yang tidak lagi menyukai puisi sebagai seni sebaliknya meminati puisi yang relevan.
“Seni itu adalah sesuatu yang harus mencerminkan situasi setempat dan alam yang merangkumi kehidupan kita. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
“Karya agung di negara luar, generasi dibentuk untuk memberikan apresiasi yang tinggi kepada pencinta.
“Kita jangan tenggelam dalam kepompong kecil. Orang seni harus berpijak di bumi nyata, menjadi molekul penting dalam kehidupan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pada majlis Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (Pulara) Pangkor Ke-6 di Arena Pulau Pangkor di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkipli, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan beberapa exco kerajaan negeri.
Tambahnya lagi, penganjuran festival bukan hanya mampu menarik kedatangan para pencinta puisi malah turut meningkatkan ekonomi kawasan itu.
“Pulau Pangkor bukan hanya untuk bernostalgia pada setiap tahun, musim ini tidak mudah untuk mengamit pencinta puisi, nilai ekonomi turut membantu kepada program ini,” katanya.
Beliau turut menyifatkan munasabah bagi dirinya untuk membantu dalam menyalurkan peruntukan buat program itu bersama dengan kerajaan negeri.
“Biar saya tidak sebut angka kerana ia subjektif, tapi biarlah saya berikan satu pertiga atau setengah dari kos (kos penganjuran). Mesti MB (Menteri Besar) senang hati untuk menarik rakan-rakan luar negara ke sini,” katanya.
Jelasnya PULARA 6 mampu memberikan kebersamaan berdasarkan kepelbagaian latar belakang dan budaya rakyat.
Ahmad Zahid dan Zambry masing-masing turut mendeklamasi sebuah puisi pada majlis tersebut.

