ALOR SETAR: Slogan ‘Kami Tak Ramai Tapi Kami Ada’ akan menjadi kekuatan kepada lebih 500 penyokong dan skuad FELDA United FC yang akan berkunjung ke Stadium Darul Aman pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, malam ini.
Biarpun jumlah itu dilihat jauh lebih kecil berbanding penyokong Kedah, namun tidak mustahil laungan dan sorakan mereka akan menenggelamkan lebih 25,000 penyokong tuan rumah sekiranya The Fighters mampu mencipta kejutan di stadium keramat skuad Helang Merah itu.
Setiausaha Agung Kelab Bola Sepak FELDA United, Zulkarnain Muhammad berkata kira-kira 250 penyokong mereka dari Lembah Kelang akan tiba Darul Aman petang ini dan selebihnya adalah penyokong FELDA United di Kedah.
“Bagi saya tiada masalah walaupun penyokong pasukan lawan lebih ramai. Apa yang kita tahu slogan penyokong FELDA United iaitu ‘Kami Tak Ramai Tapi Kami Ada’ sering memberi semangat kepada pemain walaupun beraksi tempat lawan.
“Ia terbukti ketika perlawanan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin tempoh hari yang mana kita hantar 200 sahaja berbanding penyokong lawan hampir 20,000, tetapi masih boleh memberi semangat kepada pemain,” katanya.
Kelebihan mungkin sedikit memihak Kedah berdasarkan dua gol tempat lawan yang diraih mereka hasil keputusan seri 2-2 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Rabu lalu.
Bagaimanapun, Zulkarnain melahirkan keyakinan tinggi betapa FELDA United yang mendapat sentuhan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim tidak berdepan masalah untuk mendapatkan keputusan positif, malam ini.
“Melihat kepada rekod perlawanan tempat lawan, boleh dikatakan lebih berpihak kepada kami yang mana kami pernah menang di Kelantan, Selangor dan Johor.
“Untuk semua pemain, saya harap berikan yang terbaik untuk kita mencipta sejarah dan merealisasikan hajat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu FELDA United sekurang-kurangnya menjulang satu piala musim ini,” katanya. -berita harian