KUALA LUMPUR, 25 Jun:
Tindakan pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneruskan pendakwaan terhadap 13 penuntut universiti itu yang terlibat dalam perhimpunan aman Mahasiswa Menuntut Air (MATA) hanya akan merosakkan reputasi institut pengajian tinggi itu.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata tuntutan yang dibuat oleh mahasiswa dan mahasiswi itu adalah sesuatu yang wajar yang pihak pentadbiran UKM perlu segera tunaikan kerana air keperluan asasi.
“Ia sudah menjadi tanggungjawab pihak pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan ini secara berhemah kerana ia melibatkan kepentingan mahasiswa secara umumnya.
“Tindakan pentadbiran UKM mendakwa 13 orang mahasiswanya kerana terlibat dengan perhimpunan aman MATA perlu diteliti semula dan permasalahan air yang melanda institusi itu perlu ditangani dengan cermat.
“Pendakwaan yang dikenakan oleh pentadbiran UKM terhadap mahasiswa tersebut ditakuti mencalarkan reputasi UKM sebagai institusi ilmuan terulung di dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sehubungan dengan itu, Nik Abduh mendesak pihak pentadbiran universiti meneliti semula tuntutan mahasiswa tersebut dan dalam masa yang sama menarik balik segala pendakwaan yang dikenakan ke atas 13 orang mahasiswa tersebut.
Seramai 10 siswa dan tiga siswi terbabit akan dihadapkan ke Mahkamah Universiti 29 Jun ini selepas didakwa terbabit menganjurkan himpunan MATA di kamsis mereka lewat Mac lalu.
“Perhimpunan aman MATA itu diadakan pada Mac yang lalu selepas mengambil kira perbincangan pihak Majlis Perwakilan Pelajar UKM bersama-sama syarikat air berkenaan dan telah mengemukakan beberapa syor kepada pihak pentadbiran,” katanya.
– http://bm.therakyatpost.com/