Quantcast
Channel: The Malaysian Times
Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Diam Azlan bukan kosong

$
0
0

Meskipun nama Azlan & The Typewriter kian sepi kebelakangan ini, itu tidak bermakna vokalisnya, Nor Azlan Rosle atau Azlan sudah memperlahankan kariernya.

Hakikatnya, Azlan kini aktif sebagai komposer dan bekerjasama dengan beberapa stesen televisyen.

“Ini sebahagian daripada strategi memastikan Azlan & The Typewriter tidak cepat tenggelam.

“Kami sengaja menyepi buat seketika. Kalau setiap hari jadi sebutan, apa akan jadi dengan hala tuju muzik kami? Diam kami bukan diam kosong sebaliknya berusaha menghasilkan sesuatu buat pendengar,” kata Azlan yang menggunakan nama Dark sebagai komposer.

Ditanya mengenai penghasilan album terbaru Azlan & The Typewriter, Azlan berkata, mereka akan tampil dengan single terlebih dahulu.

“Berbanding album, saya lebih berminat menghasil­kan single kerana ia tidak memeningkan kepala. De­ngan keadaan pasaran, kos penghasilan album lebih tinggi daripada pulangan yang diperolehi.

“Apabila nama kami sudah kukuh barulah berani hasilkan album. Kata orang kalau mahu buat sesuatu biarlah berbaloi.

“Material untuk single baru itu sudah ada, tunggu masa untuk rakam sahaja. Apa boleh saya katakan, single kali ini berbeza daripada karya terdahulu,” katanya lagi.

Terbaru, Azlan dilamar TV3 untuk menggalas amanah sebagai mentor dalam program Mentor Milenia.

“TV3 melamar saya dua bulan lalu. Tanggungjawab ini bukan mudah dan saya kena fokus,” katanya.

Tambah Azlan lagi, penyertaannya dalam program realiti berkenaan juga salah satu strategi yang dirancang pihaknya.

“Ini sebahagian daripada strategi Azlan & The Typewriter. Selepas selesai program ini, kami akan lancarkan single baru,” katanya.

Ditanya mengenai kriteria protege yang dicarinya, Azlan menegaskan dia mementingkan pakej lengkap.

“Pakej memainkan peranan penting jika mahu ‘hidup’ dalam industri. Namun itu tidak bermakna saya tekankan pada paras rupa.

“Kalau tidak cantik atau kacak tetapi punya bakat besar, itu sudah memenuhi kriteria yang saya cari,” katanya.

Menurut Azlan lagi, dia juga mencari protege yang minat mendalami muzik di samping mempunyai kekuatan vokal, mental dan fizikal.

“Dalam erti kata lain, protege itu mestilah boleh menerima teguran saya,” katanya.

Program Mentor Milenia mencari bakat baru berusia antara 17 hingga 21 tahun dan sesi uji bakat untuk protege Azlan akan diadakan pada 19 Disember ini. Program ini akan mula bersiaran di TV3 setiap Ahad, jam 9 malam bermula 3 Januari 2016.

-Metro


Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Trending Articles