KUALA LUMPUR, 24 Jun:
Berkemungkinan parti baru yang akan dibentuk oleh kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai ‘G18? lebih mensasarkan kawasan selatan Malaysia, kata Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Azizuddin Mohd Sani.
G18 yang merupakan kumpulan progresif dari parti PAS dilihat mempunyai kecenderungan untuk menubuhkan satu parti baru sebagai alternatif kepada PAS dan juga rakan baru buat PKR dan DAP.
Menurut Azizuddin, kumpulan ini boleh memberikan impak kepada corak politik negara namun ianya bergantung kepada bagaimana parti itu ingin ditubuhkan.
“Dia bergantung kepada bagaimana ianya nak ditubuhkan, jika sekadar nak wujudkan seperti mana PAS berfungsi, maka ia tidak memberikan kelainan.
“Tetapi, jika mereka menubuhkan parti yang lebih progresif dan terbuka, ini akan memberikan impak kepada politik kita. Jadi sukar untuk kita jangkakan, tunggu sehingga parti baru itu tertubuh,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post hari ini.
Walau bagaimanapun, Azizuddin melihat sekiranya benar G18 ini akan menubuhkan parti, ia tetap memberikan impak memandangkan mereka yang berada di dalam kumpulan ini merupakan mereka yang sudah sedia ada dikenali rakyat.
Ini kerana menurut beliau, kebanyakan dari mereka ini adalah Ahli Parlimen dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan sudah mempunyai pengaruh mereka sendiri.
“Impak mungkin lebih kepada mereka yang berada di bandar dan pinggir bandar. Kalau yang berada di kawasan luar bandar saya lihat mereka akan kekal kepada PAS sebab mereka ini agak konservatif.
“Tetapi, G18 ini jika tertubuh mereka akan banyak kehilangan sokongan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, sebab PAS kuat di negeri-negeri Pantai Timur.
“Jadi mereka akan tarik sokongan bagi negeri-negeri Selatan dan juga anak muda,” jelasnya lanjut ketika diminta mengulas berkenaan bacaan sokongan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 sekiranya terbentuk Pakatan 2.0.
Menurut laporan The Malaysian Insider, kumpulan G18 mengadakan pertemuan malam semalam yang turut disertai pimpinan PKR dan juga DAP.
Pertemuan tersebut diketahui berlangsung setelah Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teressa Kok memuat naik gambar ke dalam akaun Twitternya.
Mohamad Sabu yang berkata kepada The Malaysian Insider, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perjumpaan tersebut sebaliknya meminta untuk menunggu sehingga selepasa raya pada pertengahan bulan hadapan.
Pertemuan berkenaan diadakan di kediaman Ahli Parlimen PAS Tumpat, Kamaruddin Jaafar di Kemensah Heights Kuala Lumpur.
PR kini berada di ambang perpecahan apabila DAP dan PKR telah mengakui gabungan politik tersebut tidak lagi wujud dan berfungsi secara normal di peringkat nasional.
Keputusan dan pendirian itu diambil oleh DAP dan PKR ekoran daripada usul PAS untuk memutuskan hubungan bersama DAP di dalam Muktamar tahunan parti itu yang diluluskan tanpa bahas.
-http://bm.therakyatpost.com/