PENGENDALI Tok Gajah, Zainal Abidin jelas bangga dengan kesungguhan anak-anak buahnya yang tidak mudah mengalah sekali gus berjaya meraih tiga mata berharga selepas melakar kemenangan tipis, 1-0 ke atas The Cops dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, kelmarin.
Menurutnya, kesungguhan pemain yang telah bekerja keras dan berjuang hingga ke minit-minit terakhir telah memberikan kemenangan yang diharapkan buat skuad kendaliannya untuk terus kekal selaku pendahulu liga setakat ini.
“Secara keseluruhan, memang perlawanan ini berbeza berbanding Sabtu lalu dan lawan telah berjaya mengekang pemain saya.
“Memang pada separuh babak pertama, corak permainan mereka tidak seperti yang diharapkan dan kembali berubah dalam babak kedua dengan lebih banyak peluang dan serangan yang dilakukan di depan gawang lawan,” katanya.
Menurutnya, dia yakin Pahang akan mendapatkan gol apabila melihat corak pemain di minit-minit terakhir dan gembira kerana mereka mendapat gol yang diharapkan.
Dalam pada itu, bekas pemain kebangsaan tersebut memuji barisan pertahanan pasukan yang telah menjalankan tugas dengan baik walaupun mengakui kelemahan yang dipamerkan oleh barisan atas.
“Malah tiga pemain gantian yang diturunkan (Alex, Fauzi Rozlan dan Azidan Sarudin) telah dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik.
“Setakat ini dengan kedudukan pasukan di tangga teratas masih tidak boleh dibanggakan dan masih banyak lagi cabaran menanti dalam aksi seterusnya,” tegasnya lagi.
Dalam perlawanan tersebut, pemain tengah, Azidan muncul wira Pahang dengan gol tunggal perlawanan dalam masa kecederaan sekali gus membantu Pahang terus mengekalkan kedudukan di tangga teratas liga dengan mengumpul 26 mata.-sinar harian