BESUT – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan kemasukan 200,000 pelajar antarabangsa ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menjelang tahun 2020.
Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata sekiranya matlamat tersebut berjaya, ia juga mampu menyumbang pendapatan negara sehingga mencecah RM15.6 bilion.
Idris berkata sehingga Disember, terdapat 113,752 pelajar antarabangsa di pelbagai IPTA serta IPTS dan daripada jumlah tersebut 32,495 pelajar menuntut di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.
“Pelajar antarabangsa yang datang belajar di negara ini tidak bermasalah kerana kebanyakan mereka merupakan pelajar tajaan negara asal masing-masing dan datang ke sini bersama keluarga,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Kemasyarakatan ‘Ceria Kembali Ke Sekolah’ peringkat Parlimen Besut di sini hari ini.
Program anjuran bersama Majlis Kebajikan Pelajaran Besut (MKPB), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan beberapa agensi pendidikan seperti Malaysian Qualification Agency (MQC), Taylor University dan Perkhidmatan Pendidikan Global Malaysia (EMGS) membabitkan 400 pelajar miskin daripada sekolah menengah dan rendah di daerah Besut.
Setiap pelajar menerima sumbangan berupa beg, baju dan kasut sekolah termasuk peruntukan RM100 seorang yang diberi dalam bentuk sijil SSPN-I.
– Bernama