MANCHESTER – Louis van Gaal meninggalkan sidang akhbar pasukannya semalam setelah berang terhadap spekulasi berhubung masa depannya sebagai pengurus Manchester United.
Laporan tersebar minggu ini bahawa dia semakin hampir kehilangan kerja dan tempatnya bakal digantikan oleh Jose Mourinho, yang dipecat oleh Chelsea Khamis lalu.
“Saya berasa seperti saya sudah pun dipecat. Saya ada terbaca yang saya telah dipecat. Anda rasa saya mahu bercakap dengan media sekarang?
“Saya ke sini hanya disebabkan peraturan Liga Perdana Inggeris sahaja dan oleh itu saya perlu bercakap dengan anda,” ujar Van Gaal yang menyindir laporan akhbar berhubung dia bakal dipecat.
Selepas menjawab soalan untuk kurang daripada lima minit, Van Gaal enggan lagi membuka mulut dan terus melangkah pergi.
United kini menduduki tempat kelima liga dan bakal berhadapan Stoke City pada Sabtu ini setelah gagal menang sepanjang enam perlawanan dalam semua pertandingan.
Sidang akhbar itu berlangsung selama 4 minit, 58 saat. Van Gaal sekadar menjawab tiga soalan daripada media penyiaran dan kemudian enggan mengulas sebarang soalan daripada media cetak.
“Ada sesiapa dalam bilik ini yang tidak berasakan perlu untuk meminta maaf kepada saya? Saya tertanya-tanya,” katanya.
Van Gaal menegaskan, ahli lembaga kelab tidak harus dipersalahkan ekoran spekulasi tersebut, sebaliknya menuding jari kepada media.
Bekas pengurus Bayern Munich itu berkata, keluarga dan rakan-rakannya turut terkesan akibat kritikan berkenaan dan mendakwa dia telah dihubungi bekas pengurus Alex Ferguson, Naib Pengerusi Eksekutif Ed Woodward dan pengarah David Gill baru-baru ini berhubung perkara itu.
“Saya fikir seperti saya sudah dipecat, saya membacanya. Saya sudah dipecat. Rakan saya (Mourinho) sudah pun dipecat.
“Apa anda fikir berlaku kepada isteri dan anak saya? Atau cucu saya? Atau penyokong Manchester United? Atau rakan-rakan saya? Apa yang anda fikir? Mereka menghubungi saya banyak kali malah Arsene Wenger juga telah memperkatakan mengenainya,” katanya.
Pengurus Arsenal, Wenger sebelum ini menganggap spekulasi pemecatan Van Gaal sebagai perbuatan biadap – AGENSI/ utusan