
IPOH: Kira-kira sekitar 10,000 orang mewakili pelbagai kaum dan peringkat umur memenuhi Dataran Ipoh bagi sama-sama meraikan ketibaan Tahun Baru 2016 yang disambut secara meriah, sebentar tadi.
Seawal jam 9 malam lagi, orang ramai mula membanjiri kawasan itu bagi meraikan sambutan itu yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Mohamad Kamil Shafie dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.
Menurut Saarani, Kerajaan negeri kini giat mengatur pelbagai strategi bagi merancakkan dan mengekalkan kedudukan negeri ini dengan kedatangan pelancong domestik mahupun luar negara yang cukup menggalakkan.
“Kerjasama daripada semua pihak bersama dengan Kerajaan negeri adalah diperlukan bagi memajukan negeri ini selain jadikan Perak sebagai salah satu destinasi pilihan pelancong kelak,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmiaan sambutan tahun baru 2016 sebentar tadi.
Sementara itu juga, pertunjukan bunga api yang merupakan acara kemestian turut berlangsung tepat jam 12 tengah malam.
Orang ramai juga turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan nyanyian daripada artis-artis tempatan seperti Siti Nordiana dan persembahan kebudayaan mewakili setiap bangsa.
Acara kemuncak bermula pada detik tengah malam apabila seluruh kawasan itu digegarkan dengan pertunjukan bunga api hingga menyebabkan mata terpegun melihatnya.
Majlis sambutan diteruskan dengan bacaan doa sejurus selepas percikan bunga api serta pra pelancaran logo tahun melawat Perak 2017.