
SHAH ALAM – Pas nekad membela rakyat berikutan tekanan dan kos sara hidup yang terus menghimpit rakyat negara ini sepanjang tahun 2015.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, tahun 2015 merupakan tahun yang dihiasi peristiwa- peristiwa duka bagi rakyat negara ini.
Menurutnya, pada tahun 2016, Pas tidak akan berdiam diri sama ada berada di dalam kerajaan atau di luar kerajaan, Pas akan kekal dengan agenda-agenda membela rakyat.
“Rakyat terus berdepan dengan kenaikan kos sara hidup, kenaikan harga barang dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mula diperkenalkan bagaikan “jatuh tangga ditimpa tangga”
“Golongan berpendapatan rendah yang sebelum ini tidak perlu membayar cukai pendapatan sekarang terpaksa membayar cukai.
“Golongan berpendapatan sederhana juga menerima kesannya, “ katanya dalam petikan ucapan tahun baharu kepada Sinar Harian semalam.
Iskandar yang juga Naib Presiden Pas berkata, keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap negara ini terus merundum berikutan pelbagai kontroversi berlaku termasuk pimpinan tertinggi negara ini.
Beliau berkata, akibatnya imej negara di mata dunia telah teruk tercalar.
“Keadaan ini menyebabkan kejatuhan nilai ringgit berlaku tanpa henti.
“Malaysia perlu diselamatkan dan rakyat tidak boleh dibiarkan tanpa pembelaan, “ katanya.
Jelas beliau lagi, Pas tidak akan sama sekali berdiam diri dan Islam mengajar umatnya tidak cenderung kepada mereka yang zalim.
-Sinar Harian