
Sekarang ini, nama kumpulan wanita dari United Kingdom (UK) iaitu Little Mix bukan lagi samar-samar. Meskipun awalnya kumpulan itu bergelut mendapat tempat di hati peminat, ternyata kerja keras mereka berhasil.
Dianggotai Jade Thirlwall, Perrie Edwards, Leigh-Anne Pinnock dan Jesy Nelson, mereka akhirnya meledak selepas album terbaru Get Weird meninggalkan impak. Sering berkumandang, lagu Black Magic mereka sangat menarik perhatian pendengar.
Berbaloilah dengan usaha mereka selama ini pun kerana perjalanan karier seni kumpulan itu malap awalnya selepas menyertai program realiti The X-Factor. Berkat tidak putus asa, bukan di UK saja, malah, di Amerika Syarikat (AS), Little Mix sangat berpengaruh sekarang.
“Kami sangat teruja apabila mendapat ruang yang sangat memberangsangkan di pasaran AS. Itulah yang kami idamkan sejak sekian lama dan akhirnya selepas bertahun-tahun berjaya mengembangkan nama ke sana.
“Saya perlu akui, sambutannya sangat gila dan pelik pada masa sama. Mana tidaknya, dalam sekelip mata saja kami berjaya meraih lebih daripada setengah peminat yang ada sekarang hanya kerana menapak di AS.
“Kami langsung tidak tertekan ataupun jengkel dengan kegilaan peminat sekarang. Bagi kami, itulah yang sebenarnya membuatkan kami sedar Little Mix akhirnya dihargai selama ini,” kata Jesy yang diwawancara menerusi perbualan telefon, baru-baru ini.
Seperkara yang pasti, ikatan utuh antara setiap anggotanya menjadi tunjang kekuatan kumpulan itu selama ini. Empat tahun lebih bukan tempoh singkat dan mampu saja menggoyahkan kesetiaan terutama penyanyi berkumpulan.
Syukur, itu tidak menimpa kumpulan berkenaan kerana hubungan mereka sendiri sudah bagaikan adik-beradik. Sangat menitikberatkan persahabatan, Jesy mengakui mereka langsung tidak pernah bergaduh.
“Hubungan persahabatan yang terjalin antara kami memang sangat memainkan peranan besar dalam mengukuhkan Little Mix. Kalau bukan kerana kami sangat menghargai nilai persahabatan itu, mungkin kumpulan ini sudah hancur.
“Kami sangat selesa berada di sisi masing-masing bahkan sebenarnya hubungan kami seperti adik-beradik. Terus terang, tidak pernah langsung tercetus pergaduhan antara kami apa lagi mahu dengki-mendengki.
“Kala ada antara kami yang berhadapan saat duka, di situlah anggota lain akan menyalurkan sokongan paling kuat mereka. Saling mempercayai, itulah yang sangat penting buat kami,” katanya.
Selain itu, percaturan Little Mix menukar hala tuju muzik diperjuangkan terutama sewaktu menghasilkan album Get Weird nyata satu keputusan bijak. Risiko itulah yang jelas menjadi pemangkin penting dan meletakkan mereka di peringkat sekarang.
Menurut Jesy, tiada sesalan langsung apabila perubahan itu diambil kerana pembaharuan adalah faktor utama perjuangan mereka.
“Ada album baru bermakna kena ada perubahan juga. Kami tidak mahu material yang dipertaruhkan membosankan dan kerana itulah melakukan pembaharuan terutama daripada segi hala tuju muzik dalam Get Weird.
“Ia perlu benar-benar membawa angin baru berbanding album terdahulu dan harus disertai dengan elemen kejutan,” katanya.
Mahu kejutan di Malaysia.
Pengikut tegar kumpulan ini pastinya sudah tahu Little Mix bakal berkunjung ke Malaysia buat pertama kali mengadakan konsert Little Mix The Get Weird Tour, Mei nanti.
Berlangsung pada 21 Mei 2016, jam 8.30 malam di KL Live, Kuala Lumpur, tiket berharga RM128, RM188 dan RM258 sudah mula dijual menerusi laman web www.ticketpro.com.my sejak Disember tahun lalu.
Jesy ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya dan mengakui mereka semua tidak sabar menjejak kaki di sini.
“Sebab utama kami sangat teruja tidak lain kerana tahu peminat di Malaysia sangat mengagumkan. Lagipun, kami belum lagi pernah berkunjung ke sana!
“Yang pasti, saya sudah dapat mengagak pastinya situasi di sana akan berbeza dan lebih hebat. Kami ada juga sesekali berhubung dengan peminat di media sosial seperti Twitter serta Instagram dan kini tidak sabar berjumpa sendiri mereka.
“Kami tahu peminat di sana pasti akan memberikan kejutan buat kami. Itulah yang memang kami sentiasa harapkan setiap kali berkunjung ke tempat baru,” katanya mengakhiri perbualan.
-Harian Metro