
IPOH – Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (Kuisas) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan nota kolaborasi dengan Yayasan Perak serta Kolej Komuniti dalam usaha mengeratkan lagi jaringan bidang pendidikan.
Reaktornya, Tan Sri Nordin Kardi berkata, MoU antara pihaknya dengan Yayasan Perak lebih terarah kepada kerjasama menubuhkan Tabung Kumpulan Khas Amanah Yayasan Perak untuk pelajar Kuisas.
“Perjanjian ini memberi peranan kepada Kuisas untuk mencari dana kepada tabung ini.
“Yayasan Perak berperanan sebagai pihak yang akan menguruskan pembiayaan kepada pelajar-pelajar Kuisas,” katanya selepas majlis menandatangani Mou dan nota kolaborasi, semalam.
Penyerahan MoU berkenaan diwakili Pengerusi Yayasan Perak, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff sementara nota kolobrasi bersama Kolej Komuniti diwakili Pengerusi Kolej Komuniti Wilayah Perak, Zulkifli Kamaruddin.
Majlis menandatangani disaksikan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.
Nordin berkata, dana daripada tabung itu juga akan digunakan untuk membiayai pelajar cemerlang Kuisas bagi meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Bagi merealisasikan harapan itu, kita akan memastikan kerjasama dua hala ini sentiasa berada pada tahap membanggakan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Perak, Abdul Razak Mohamed berkata, agensinya berperanan mengendalikan dan mengawal pembiayaan dana yang diwujudkan menerusi tabung berkenaan.
“Dengan adanya penubuhan tabung ini dapatlah Yayasan Perak bersama Kuisas mengenal pasti anak Perak yang berpotensi untuk digilap dan melahirkan pemimpin kelas pertama bagi mewarisi kepemimpinan sedia ada,” katanya.
Mengulas mengenai nota kolaborasi, Pengarah Bahagian Peperiksaan dan Penilaian Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (JPKK), Rosli Idris berkata, usahasama antara Kuisas dan Kolej Komuniti lebih tertumpu kepada aspek ilmu pengetahuan, kemahiran dan pembangunan modul.
“Koloborasi ini membolehkan Kuisas menawarkan modul kemahiran Kolej Komuniti kepada pelajarnya sebagai kursus ko-kurikulum untuk memberi nilai tambah kepada pelajar,” katanya.
-Sinar Harian