
IPOH: Seorang peniaga hari ini menitiskan air mata sebagai tanda bersyukur kerana terlepas dari tali gantung apabila Mahkamah Tinggi Ipoh, di sini, hari ini, membuat keputusan untuk melepas dan membebaskannya.
Mohd Saipol Bahri Yaakub kelihatan tenang sejurus keputusan dibacakan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, S.M.komathy Suppiah bahawa beliau bebas daripada hukuman itu.
Mohd Saipol dituduh mengedar dadah jenis Cannabis seberat 438.1 gram dan memiliki dadah iaitu seberat 10.7 gram (5.5 gram herion dan 5.2 gram Monoacetylmorphines) pada 9 Febuari 2015.
Bagaimanapun keputusan berpihak kepadanya selepas pihak kehakiman mendapati wujud percanggahan dua bukti iaitu keterangan mengenai lokasi dadah itu ditemui.
Difahamkan wujud percanggahan apabila saksi yang dipanggil gagal membuktikan lokasi sebenar penemuan dadah tersebut hingga mengakibatkan wujud dua bukti yang bercanggah.
Terdahulu Mohd Saipol telah didakwa diatas kesalahan dibawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.