
Kemboja: Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) akan menggerakkan penubuhan sebuah sekretariat, yang akan menjadi platform kepada umat Islam di nusantara, menangani isu serantau dan meningkatkan kerjasama menyentuh pelbagai perkara berkait umat Islam dalam ASEAN.
IKSIM sebagai sebuah badan pemikir strategik ditubuhkan melalui perkenan Majlis Raja-Raja, turut memberi fokus kepada beberapa isu senusantara seperti penindasan, keganasan, ekstrimisme dan ancaman serta penyerapan pemikiran liberalisme dalam kalangan umat Islam.
Selaras dengan matlamat itu, IKSIM sedang memulakan inisiatif untuk berhubung dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggerak komuniti Islam dari negara ASEAN. IKSIM juga berhasrat untuk membawa idea itu ke peringkat negara dalam Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC).
Pengurus Besar IKSIM, Dr Mohd Fauzi Shaffie, berkata idea kepada penubuhan sebuah sekretariat seumpama itu sudah ditimbulkan dalam satu konvensyen di Jakarta, tahun lalu, yang antara lain mahukan supaya sebuah gerakan rasmi ditubuhkan bagi membina kesepaduan dan memperkukuh komuniti Islam di rantau ini.
“Kita menyasarkan untuk membentuk satu kerjasama lebih erat dan padu di bawah satu komuniti membabitkan umat Islam dari negara seperti Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand, Singapura, Myanmar dan Malaysia sendiri.
“Isu sejagat seperti penindasan berterusan yang dihadapi oleh etnik Rohingya di Arakan, Myanmar dan penyerapan ideologi liberalisme serta ancaman daripada sikap tiada tolak ansur dalam menangani perbezaan pendapat menjadi antara fokus utama IKSIM,” katanya.
Mohd Fauzi, semalam mengetuai delegasi IKSIM ke Kemboja bagi mengadakan pertemuan dengan Menteri Latihan Vokasional dan Kerja Kemboja, Datuk Othsman Hassan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Zakarya Adam.
Dalam pertemuan lebih satu jam itu, pelbagai perkara disentuh, termasuk berkaitan usahasama yang boleh dijalin antara penggerak komuniti Islam di Kemboja dan Malaysia.
Sebagai reaksi balas, Othsman menyatakan komitmennya untuk memberi sokongan penuh bagi penubuhan sekretariat itu kelak menerusi Yayasan Pembangunan Islam Kemboja yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.
“Kami bersedia menjadi sebahagian daripada anggota sekretariat dan akan memberi kerjasama penuh bagi penubuhannya,” katanya.
Sehubungan itu, IKSIM bercadang mengadakan satu simposium di Kuala Lumpur, yang antara lain akan menghimpunkan NGO Islam di ASEAN bagi berkongsi pandangan dan mencari kesepakatan dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi umat Islam di rantau ini.
-Berita harian