
Kuala Lumpur: Pemanah compound negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh (gambar) tidak gusar menghadapi siri pertama Piala Asia walaupun hanya sempat menjalani latihan singkat bersama rakan sepasukan.
Menurutnya, dia hanya akan menjalani latihan bersama rakan sepasukan lain selama lima hari bermula minggu depan kerana terikat dengan pelajaran.
“Bulan lalu saya terpaksa melupakan kejohanan kebangsaan kerana perlu menyiapkan tugasan. Walaupun tempoh itu singkat ia bukan masalah besar kerana sudah biasa dengan keadaan ini.
“Saya turut menjalani latihan di Kelantan untuk mengekalkan rentak dan prestasi walaupun rakan sepasukan lain berada di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil,” katanya yang melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.
Dia dijangka beraksi untuk acara individu serta berpasukan pada kejohanan pertama pemanah negara di pentas antarabangsa tahun ini.
“Rakan sepasukan saya juga pemanah yang sama. Jadi saya tidak rasa akan timbul masalah,” jelasnya.
Selain Fatin, tiga lagi rakan sepasukannya adalah Saritha Cham Nong, Norhayati Al-Madiah Hashim dan Nor Rizah Ishak.
Pemanah compound wanita negara mula mencuri tumpuan di pentas antarabangsa selepas kejayaan muncul juara di siri Piala Dunia pada Mei tahun lalu.
Piala Asia berlangsung di Bangkok, Thailand pada 20 hingga 27 Mac ini.-harian metro