
Selepas mendapat publisiti meluas di laman sosial, Abdul Rani Kulup Abdullah yang terkenal dengan tagline ‘kipidap’ kini mula berjinak-jinak dengan bidang lakonan. Abdul Rani yang mendapat jolokan Raja Report Malaysia juga pernah muncul dalam program Super Spontan All Stars sebelum ini.
Dia yang mesra disapa ‘Ayahanda’ diberi kepercayaan melakonkan watak Tok Daddy dalam filem komedi, Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi terbitan MIG Pictures.
Abdul Rani yang terkenal dengan imej beret merah, kemeja seragam hitam dan merah serta kaca mata hitam ini mengakui peluang yang diberikan MIG ibarat bulan jatuh ke riba.
“Tidak sangka pada usia saya 60 tahun, MIG berani menawarkan saya berlakon dalam filem terbaru mereka. Saya terima tawaran ini kerana hanya menjayakan watak pembantu selain suka filem komedi.
“Saya juga berharap jika filem ini mendapat sambutan di pawagam nanti, produser tidak lupa memberikan bonus sebagai ganjaran kepada barisan pelakon,” katanya.
Abdul Rani berkata, dia seronok sepanjang penggambaran filem itu.
“Sebagai pendatang baru, saya bertuah kerana pengarah dan rakan pelakon lain turut membantu saya menjiwai watak sebaik mungkin. Pelakon senior yang memegang watak Nanny Rockie iaitu Kartina Aziz juga banyak menolong saya.
“Keserasian sangat penting kerana kami bergandingan sebagai suami isteri dalam cerita ini. Namun, saya akui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki selepas ini.
“Saya sudah berusaha menjayakan watak Tok Daddy mengikut kemampuan diri dan terpulang kepada penonton untuk menilai hasilnya nanti,” katanya.
Abdul Rani menegaskan dia bersetuju beraksi dalam filem itu bukan kerana mahu mengejar populariti.
“Saya berlakon bukan sebab mahu glamor. Ikutkan saya memang sudah glamor pada awal kemunculan pada 2008.
“Setiap kali muncul depan khalayak, saya akan dikerumuni peminat yang ingin bergambar dengan saya.
“Bagi saya tak salah mengasah bakat dalam bidang lakonan jika ada pihak sudi beri peluang,” katanya.
Filem arahan Eyra Abd Rahman yang mula ditayangkan hari ini dibintangi Atikah Suhaime dan Hafreez Adam selaku teraju utama selain dibantu Aizat Hassan, Julia Farhana Marin, Kartina Aziz, Vicha Saywho, Anam Aziz dan pelakon cilik Izzy Zulkhazree, Muhammad Mirza Ihtisyam serta Ainun Batrisya.
Terbitkan filem sendiri
Bukan sahaja mencanai bakat sebagai pelakon, Abdul Rani ada perancangan menerbitkan filem tidak lama lagi.
Menurut Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM) itu, dia ingin menerbitkan filem yang ganas sesuai dengan imejnya.
“Saya berharap ada produser filem berminat bekerjasama dengan saya merealisasikan filem ini. Saya juga bersedia berjumpa dan berbincang dengan mereka mengenai filem yang bakal dihasilkan,” katanya.
Selepas MIG, Abdul Rani turut dilamar Skop Production dan KRU.
“Skop Production dan KRU ada menghubungi saya dua minggu lalu dan menawarkan berlakon dalam filem terbaru mereka,” katanya.-harian metro