
SABAK BERNAM – Kerajaan negeri meminta agar jajaran asal Projek Lebuh Raya Pantai Barat (LPB) yang dicadang melalui Ban Kanal dibatalkan kerana mengganggu tanah-tanah milik penduduk dan kampung terlibat.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya telah memanggil Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyemak semula jajaran asal yang telah dicadangkan sebelum ini.
Tegas beliau, pembinaan LPB itu nanti menyebabkan kampung-kampung di kawasan sekitar terpisah dua dan mendatangkan banyak kesulitan kepada penduduk.
“Baru-baru ini, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad bersama-sama jabatan dan agensi berkaitan telah turun bertemu dengan penduduk yang terlibat dalam projek itu.
“Kerajaan negeri sentiasa mendengar maklum balas penduduk terlibat berkaitan tentang pembinaan LPB menggunakan jajaran asal,” katanya kepada Sinar Harian.
Ditanya adakah projek LPB itu akan dilaksanakan di Jalan Persekutuan, Mohamed Azmin berkata, pada masa ini jalan itu dicadangkan untuk pembinaan lebuh raya, bagaimanapun ia belum dimuktamadkan.
Pembinaan LPB yang menelan kos RM6 bilion itu sejauh 215.8 kilometer itu dijangka mengambil masa tujuh tahun iaitu tiga tahun bagi menyiapkan laluan di Selangor dan empat tahun di Perak.
Projek LPB bermula dari Banting, Selangor ke Taiping itu akan menyambungkan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) itu akan melalui pekan utama seperti Tanjong Karang, Sekinchan, Sungai Besar dan Sabak Bernam serta terus melalui Teluk Intan hingga ke Taiping.
-Sinar Harian