
PARIT BUNTAR: Sebuah kedai yang memproses ayam mentah, di sini di rempuh oleh sebuah kenderaan apabila pemandunya tersalah tekan pedal minyak dalam kejadian yang berlaku, pagi semalam.
Akibat daripada rempuhan tersebut, seorang pekerja premis tersebut mengalami patah kaki akibat daripada rempuhan tersebut.
Pekerja premis berkenaan, Mohd Yusoff Kassim berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 10.15 pagi ketika dia bersama dua rakan sekerjanya baru saya selesai melayani seorang pelanggan yang datang membeli ayam mentah di premis tersebut.
Jelasnya lagi, ketika sedang berehat, sebuah kereta jenis Toyota Avanza dari arah Pasar Awam Parit Buntar secara tiba-tiba merempuh masuk melalui pintu hadapan premis tersebut.
“Sebaik kereta itu merempuh masuk premis, saya dan seorang lagi pekerja berjaya mengelak daripada turut sama dirempuh.
“Namun seorang rakan sekerja kami, Rosli Omar 48, tidak bernasib baik apabila dia tidak sempat mengelak dan turut sama dirempuh kereta terbabit adalah lebih 100 ekor ayam mentah, peralatan niaga dan dua buah motosikal,”katanya.
Mohd Yusoff berkata, akibat daripada rempuhan tersebut, rakannya itu mengalami patah kaki selain daripada kecederaan di tangan kiri.
Ujarnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk menerima rawatan lanjut.
“Kejadian itu berlaku sekelip mata apabila kenderaan yang dipandu seorang warga emas berusia 80 tahun dipercayai hilang kawalan sewaktu hendak keluar ke jalan utama di hadapan premis niaga kami melalui jalan pintas.
“Mujur tiada pelanggan berurusniaga sewaktu kejadian berlaku, jika tidak kami tidak dapat membayangkan kesannya,”ujarnya.
Sementara itu , pemilik premis, Mohd Fahmi Asyraf Mohd Khidri 23, berkata, kejadian tersebut merupakan pertama kali berlaku sejak premis Ayam Global itu dibuka sejak setahun lalu.
Ujarnya, sebaik beliau menerima tentang kejadian tersebut, beliau segera bergegas ke premis berkenaan dan membantu membawa pekerjanya yang cedera ke hospital.
Dalam masa yang sama, pemandu kereta, Tan Chun Kiak 80, ketika ditemui mengakui bahawa beliau hilang kawalan setelah tersilap menekan pedal minyak yang disangka pedal brek.
“Sejak memiliki lesen memandu, pertama kali saya berdepan kejadian sebegini.
“Saya memohon maaf kepada mangsa kemalangan dan pemilik premis di atas kejadian yang berlaku,”katanya.