Quantcast
Channel: The Malaysian Times
Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Siasat dalang guling MB Johor

$
0
0
image

JOHOR BAHRU – Umno disaran mengambil tindakan segera ke atas mereka yang menjadi punca kepada provokasi melampau kononnya wujud gerakan untuk menggulingkan Menteri Besar Johor dan digantikan dengan calon timbalan menteri yang dikatakan rapat dengan perdana menteri.

Adun Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat berkata, sudah tiba masanya Umno bertindak, menyiasat siapa punya angkara dan apa agenda mereka yang mencetuskan provokasi ini.

“Kenyataan yang jelas tidak beretika ini, menyebabkan kita sebagai ahli Umno khususnya mereka yang suka dengan cerita-cerita sebegini, membuat andaian dan tuduhan melulu dalam mencari ‘siapa timbalan menteri’ yang dimaksudkan oleh portal-portal pro pembangkang ini,” katanya.

Katanya, persoalan ini mewujudkan syak wasangka sehingga boleh menimbulkan fitnah dalam kalangan ahli-ahli Umno.

“Kepada mereka yang timbulkan isu ini, minta dia sebut secara terbuka tanpa berselindung atau berkias-kias yang sekadar menimbulkan tanda tanya.

“Umno perlu desak mereka ini sebut timbalan menteri mana yang dimaksudkan supaya siasatan boleh dibuat. Jika dia membuat fitnah maka tindakan wajar diambil ke atasnya,” katanya.

Beliau berkata, adalah mustahil untuk menggantikan Menteri Besar Johor dengan timbalan menteri dalam penggal ini kerana semua timbalan menteri dari Johor bukan daripada kalangan Adun.

“Mereka ahli parlimen dan tiada peruntukan untuk mereka dijadikan MB melainkan ada pilihan raya kecil di peringkat negeri dan mendapat perkenan Tuanku Sultan Johor.

“Sebaliknya, Adun boleh jadi timbalan atau pun menteri penuh bila-bila masa jika mereka dilantik senator di peringkat pusat dan diangkat sebagai menteri oleh perdana menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Seri Gading, Datuk Aziz Kaprawi berkata, pendedahan mengenai wujud gerakan mengguling Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin disifatkan sebagai tidak berasas dan hanya imaginasi individu yang mempunyai masalah mental.

Katanya, situasi politik di Kedah tidak sama seperti di negeri ini malah semua timbalan menteri dari Johor tidak mempunyai kerusi di peringkat dewan negeri.

“Kenyataan itu seperti lawak bodoh. Mungkin dia tiada ilmu pengetahuan tentang politik kerana untuk jadi menteri besar tiada timbalan menteri dari Johor yang menjadi Adun.

“Kedah lain kerana menteri besar ketika ini (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah), dulu memang Adun, situasi di Johor tidak sama. Kenyataan ini khayalan dia sahaja, tiada angin tiada ribut tiba-tiba buat dakwaan begitu,” katanya.

Aziz yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, dakwaan itu suatu perkara yang mustahil kerana tiada perbincangan diadakan oleh mana-mana bahagian Umno di Johor bagi melancarkan gerakan seperti didakwa.

“Gerakan ini pastinya ada kumpulan besar mungkin 10 bahagian yang berbincang tetapi sehingga hari ini tiada satu bahagian pun yang berbincang mengenai perkara ini (guling menteri besar).

“Malah, kami timbalan-timbalan menteri dan ahli-ahli parlimen lain sentiasa duduk semeja di Parlimen dan berbincang mengenai usaha untuk mengukuhkan parti,” katanya.

Katanya, kenyataan itu seolah bertujuan melaga-lagakan kepimpinan Umno di negeri ini namun, kedudukan parti di negeri masih mantap dan berada dalam keadaan stabil.

“Kebetulan dia (Shukur Mohamad) Ahli Umno Bahagian Seri Gading tetapi dia tidak bercampur dan tidak pernah hadiri sebarang perjumpaan di peringkat cawangan.

“Pastinya kenyataan ini bertujuan untuk memporak-perandakan Umno Johor dengan niat melaga-lagakan pemimpin,” katanya.

-Sinar Harian


Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Trending Articles