
Kuala Lumpur: Sanggup terjun ke dalam tasik bagi mengelakkan diri daripada dicekup pihak berkuasa.
Itu antara tindakan sekumpulan penagih selepas sarang mereka diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul menerusi Ops Sarang Bersepadu 2/16, di bawah jambatan bulatan Batu Caves, di sini, semalam.
Bagaimanapun tindakan itu sia-sia apabila polis turut menyediakan dua bot hasil kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang bagi mengejar dan menangkap mereka yang melarikan diri ke dalam tasik terbabit.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, menerusi operasi bermula jam enam pagi itu berjaya menahan seramai 20 penagih dan seorang pengedar dadah.
Katanya, seramai 33 pegawai dan anggota polis termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat dikerahkan dalam operasi berkenaan.
“Ketika serbuan dilakukan terdapat suspek melarikan diri dengan melompat ke dalam tasik dan menyorok di dalam semak. Malah ada yang sanggup menyorok di dalam tasik sehingga lebih tiga jam bagi melepaskan diri daripada ditangkap,” katanya.
-Harian Metro