
TAPAH : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau percaya unit-unit dana Permodalan Nasional Berhad (PNB) dapat memberi peluang kepada rakyat untuk memberi peluang perkongsian kekayaan negara menerusi unit-unit tersebut.
Najib berkata, melalui unit-unit tersebut, maka kekayaan negara boleh dikongsi kepada rakyat kerana kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh kerajaan melalui PNB memberi perlindungan kepada pihak pelabur,
Katanya, disebabkan itu, aset-aset di bawah pengurusan PNB telah berkembang dan kini mencecah RM267 bilion.
“Jika kita amati pada tahun pertama Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) dianjurkan pada tahun 2000, jumlah dana rakyat dalam pelaburan unit-unit amanah dana PNB adalah hampir 36 bilion unit dan sehingga 31 Mac 2016, jumlah ini melonjak kepada lebih 200 bilion unit.
“PNB juga telah meningkat daripada 7.7 juta pemegang akaun pada tahun 2000 kepada 12.65 juta pemegang akaun sehingga kini,”katanya ketika berucap bagi merasmikan MSAM 2016 di Stadium Mini Tapah atau kini dikenali sebagai Stadium Tun Ahmad Sarji, hari ini.
Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, dan Presiden PNB merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Najib juga turut berkata, program MSAM yang dianjurkan oleh PNB telah memberi kesan besar kepada negara dari pelbagai dimensi.
“Pengetahuan tentang bagaimana untuk melabur dan mengurus kewangan peribadi dan keluarga adalah satu aspek dalam kehidupan yang amat penting sekali.
“Kalau kita bijak merancang kewangan kita, bijak untuk merancang belanja dan menguruskan soal kos sara hidup dan gaya hidup serta isu keberhutangan, maka kita akan menjadi seorang yang lebih mampu menangani cabaran-cabaran hidup kita dengan kita dengan lebih berjaya,”katanya.
Ujarnya, tahap hutang isi rumah negara dari nilai KDNK pada tahun 2014 ialah pada 87 peratus telah meningkat kepada 89 peratus tahun lalu.
“Sebahagian daripada hutang-hutang isi rumah ini tidak dapat dielakkan kerana ia membabitkan hutang-hutang seperti membeli rumah dan kereta.
“Namun hutang kad kredit dan hutang-hutang lain yang ada hubung kait dengan perbelanjaan kita hendaklah dirancang dan dikawal dengan baik.
“Oleh itu, panduan yang diberikan oleh PNB melalui seminar-seminar dapat membantu rakyat untuk menguruskan soal perbelanjaan, pendapatan untuk digunapakai dengan cara yang dapat menjamin masa depan kita,”ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengumumkan bahawa PNB telah menyumbangkan RM700,000 kepada Pusat Hemodialisis Hospital Tapah bagi tujuan menaiktaraf bangunan dan pembelian empat mesin hemodialisis di pusat berkenaan.
MSAM 2016 akan berlansung bermula hari ini sehingga 28 April hadapan.