
Johor Bahru: Seorang lelaki ditahan polis malam tadi selepas disyaki menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi dengan menghantar mesej bersifat jelik menerusi WhatsApp kepada seorang kerabat rapat Istana Diraja Johor, pagi semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, lelaki itu ditahan 10.20 malam tadi berdekatan tempat kerjanya di Menara Maybank, Kuala Lumpur.
Katanya, polis menerima laporan dibuat seorang petugas istana berhubung kerabat rapat Istana Diraja Johor yang menerima mesej bersifat jelik menerusi WhatsApp, 10.30 pagi semalam.
“Bertindak atas maklumat, kita berjaya menahan suspek dan merampas satu telefon bimbit serta dua kad sim.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek memperoleh butiran maklumat nombor telefon bimbit kerabat rapat istana itu dengan cara yang tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang,” katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan turut dirujuk ke Jabatan Perlindungan Data Peribadi bagi siasatan mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
-Harian Metro