
Meskipun populariti pelawak Amir tidak sehebat rakan seangkatan lain, siapa sangka dia mempunyai aura tersendiri.
Pernah dinobatkan pemenang ketiga program Raja Lawak musim ketiga pada 2009, baru-baru ini Amir turut berada dalam senarai Top 5 untuk Artis Komedi Popular di Anugerah Bintang Popular BH 29 (ABPBH 29).
Walaupun trofi kemenangan menjadi milik Abam pada malam kemuncak ABPBH 29, Amir tetap bersyukur dengan pencapaian diraihnya.
Amir atau Mohammad Amirullah Azmi, 28, berkata menang atau kalah, adat bertanding. Namun, apa yang pasti dia tidak menyangka memiliki peminat.
“Saya memang tak sangka ada juga peminat dan mereka sanggup menghantarkan undian buat saya. Bagi saya, ia satu penghargaan sangat besar.
“Jika dibanding dengan calon lain, siapalah saya. Apapun, hanya ucapan terima kasih yang mampu saya beri kepada peminat yang menyokong.
“Bagaimanapun, tujuh tahun lalu mungkin peminat kenal dengan saya sebagai Amir I’m Sorry, tetapi sekarang nampaknya sudah terlekat dengan panggilan Amir Amirreka pula,” katanya.
Jolokan ‘Amir Amirreka’ itu diterima ketika terbabit dalam program Super Spontan dan kini menjadikan panggilan itu sebagai jenama dirinya.
Kata Amir, dia juga menceburi perniagaan makanan tahun lalu dan Roti Bakar Amirreka jenamanya kian berkembang dan mendapat sambutan baik di pasaran.
“Barangkali sudah rezeki saya perniagaan Roti Bakar Amirreka yang diusahakan di Batu Caves kini bakal membuka dua lagi cawangan di Kepong dan Shah Alam.
“Memang saya tak sangka dalam tempoh setahun sudah mampu mengembangkan perniagaan ini untuk dua lagi cawangan baru di tempat lain.
“Apapun, saya sangat bersyukur kerana tidak terikat dengan satu sumber rezeki saja. Sekarang, selain aktif dengan karier seni saya ada perniagaan.
“Secara tidak langsung, perniagaan roti bakar ini adalah jaminan masa depan saya dan keluarga. Ditambah, saya pun sudah berumah tangga,” katanya.
Amir yang baru setahun mendirikan rumah tangga bersama Nur Intan Syafinaz Shaari sedar tanggungjawab sebagai ketua keluarga sangat besar.
“Meskipun tawaran untuk program TV dan berlakon tak putus diterima, pembabitan dalam bidang perniagaan adalah langkah wajar.
“Saya pun sebenarnya sudah mula berjinak-jinak dalam perniagaan kira-kira dua tahun lalu apabila memasarkan produk sabun. Namun, sambutannya biasa saja.
“Saya tidak berputus asa dan terus terfikir untuk mengusahakan perniagaan lain yang lebih menarik minat masyarakat. Sudah tentu, berniaga makanan.
“Bagi menjalankan perniagaan makanan, saya mencari makanan sesuai. Menyedari kepakaran saya dalam masakan agak terhad, saya terfikirkan roti bakar,” katanya.
Katanya, proses membuat roti bakar tidaklah rumit dan sukar. Dia dan isterinya sepakat untuk mencuba nasib berniaga roti bakar.
“Nampaknya percubaan saya mendapat penerimaan positif daripada pelanggan kerana saya sangat menjaga mutu dan kualiti roti bakar dihasilkan.
“Ditambah dengan harga berpatutan dengan rasa lazat asli pada roti bakar dihasilkan, ia meyakinkan pelanggan dengan produk kami,” katanya.
Anak jati kelahiran Kelantan ini bersedia menerima kehadiran cahaya mata jika diizinkan Allah. Katanya, dia dan isteri sama sekali tidak pernah merancang.
“Siapalah kami nak merancang. Ditambah lagi urusan membabitkan anak. Sebagai pasangan sudah berkahwin, pasti mengimpikan kehidupan berkeluarga.
“Saya pun bukan makin muda, usia setiap tahun meningkat. Jadi, sudah pasti ada impian di hati ini untuk bergelar bapa dan memiliki anak,” katanya.
Setakat ini kata Amir, dia dan isteri tidak berasa tertekan kerana masih belum dikurniakan zuriat.
Katanya, belum rezeki mereka.
-harian Metro