
SUNGAI BESAR: Gerakan memberi tumpuan terhadap program rumah ke rumah berbanding mengadakan program jamuan besar-besaran yang dilihat tidak lagi efektif dalam usaha mendekati pengundi bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.
Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, program jamuan yang dihadiri pengunjung yang ramai tidak dapat memberi penjelasan yang tepat kepada golongan sasaran berbanding program turun padang bertemu pengundi.
Beliau berkata, strategi bertandang dari rumah ke rumah yang dilaksanakan sejak semalam di Sekinchan ternyata lebih berkesan terutama beliau sendiri mempraktikkan gerak kerja itu ketika menjadi calon BN memenangi PRK Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei 2014.
“Sukarelawan kita akan memperluaskan gerak kerja untuk bertemu pengundi dari rumah ke rumah mengikut kawasan yang telah ditetapkan.
“Setiap unit yang telah ditubuhkan ini akan menjaga dan melawat beberapa rumah bagi memenuhi hasrat kita untuk bertemu dan memberikan penerangan tentang isu-isu semasa kepada pengundi,” katanya pada Majlis Perasmian Bilik Operasi Gerakan di Sekinchan.
Sie Keong berkata, meskipun PRK Parlimen Sungai Besar dianggap mencabar berikutan BN hanya memenangi majoriti 399 undi, namun beliau masih menaruh harapan tinggi BN mampu mengekalkan kerusi itu.
“Kita yakin dengan senario politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ia sedikit-sebanyak meningkatkan moral pengundi untuk terus menyokong BN,” katanya.
-Sinar Harian