PASIR SALAK: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah memperuntukan sebanyak lebih RM27 juta untuk membantu petani, penternak dan pengusaha akuakultur serta industri asas tani yang terjejas akibat banjir.
Sumbangan berkenaan merupakan bantuan ehsan yang disediakan dibawah MOA iaitu Tabung Bantuan Bencana Agromakanan telah diberikan kepada 17,294 penerima daripada seluruh negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM1.39 juta telah diperuntukan untuk seluruh negeri Perak yang turut terjejas dengan banjir.
“Sebanyak RM1.39 juta telah diberikan kepada kira-kira 1,073 orang petani, penternak, pengusaha akuakultur dan industri asas tani di bawah Tabung Bantuan Bencana Agromakanan MOA,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Wang Ihsan Tabung Bantuan Bencana Agromakanan kepada petani yang terlibat dengan bencana banjir negeri Perak di sini, hari ini.
Ujarnya lagi, pemberian sumbangan ihsan berkenaan adalah mengikut sektor yang terjejas akibat banjir yang melanda negeri itu pada tahun lalu sehingga menjejaskan pendapatan golongan berkenaan.
“Bagi bantuan tanaman, ia terbahagi kepada kerugian hasil padi, penanaman semula padi, pengusaha sayuran-sayuran dan juga pengusaha buah-buahan ataupun kontan.
“Manakala bagi bantuan ternakan pula adalah mengikut haiwan ternakan antaranya kerbau, lembu atau rusa, kambing atau bebiri, ayam, itik serta puyuh dan bagi pengusaha akuakultur pula, bantuan ihsan diberikan untuk kolan, sangkar atau kandang dan juga hatcheri.
“Bantuan ihsan turut diberikan untuk industri asas tani yang mana sebanyak RM1,000 diberikan kepada pengusaha yang terjejas dan secara puratanya keseluruhan bantuan ihsan tersebut dianggarkan daripada RM700 hingga ke RM15,000 bagi seorang petani,” tambah beliau lagi.
Beliau berharap agar bantuan yang diberikan tersebut mampu menampung dan meringankan bebanan yang ditanggung oleh petani yang terjejas berkenaan.