
KUALA KANGSAR: Kempen PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar mencipta kelainan apabila telah menampilkan Juara Moto3 Grand Prix Argentina, Khairul Idham Pawi.
Khairul Idham yang berasal dari Kampung Gajah telah menyertai program yang dianjurkan oleh parti itu yang diadakan di Dataran Menora di sini, semalam.
Turut hadir sama dalam program tersebut adalah calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.
Beliau yang lebih mesra dipanggil Keon, sebelum ini telah mencipta sejarah apabila berjaya menjadi pelumba pertama negara yang menaiki podium bagi Kejuaraan Motosikal Dunia.
Pada program berkenaan, Keon yang sebelum ini merupakan pelajar sekolah Pasti turut berkongsi pengalamannya semasa menyertai pertandingan tersebut.
Keon turut menerima trofi Anugerah Tokoh Permotoran Anak Muda dalam program berkenaan yang disampaikan oleh Razman.