Buat pertama kalinya penerbit, A Aida, 44, mengadakan majlis berbuka puasa dengan kerjasama Persatuan Pengawal Peribadi (BGM).
Bagi pemilik syarikat A Aida Productions itu, majlis berkenaan sangat istimewa kerana meraikan anak yatim dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor.
“Apabila BGM menawarkan kerjasama, saya terus bersetuju. Bukan tidak ada masa mengadakan majlis sendiri tetapi memandangkan kami sudah lama kenal, tidak salah kalau bergabung,” katanya.
Bagi memeriahkan acara, Aida turut menjemput barisan pelakon drama Puteri Gunung Ledang (PGL-Aku Telah Jatuh Cinta), Si Montel dan Abang Sado Jemur Kain.
Mereka terdiri daripada Ammar Alfian, Atikah Suhaime, Farahdhiya, Aida Khalida, Azlan Mokhtar, Afzan, Siti Chubby dan ramai lagi.
“Jadi rutin, saya akan meraikan anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.
“Bukan pada Ramadan saja, bulan lain pun kita digalakkan buat kebajikan. Jika ada rezeki lebih, tidak salah bersedekah,” katanya.
Mengulas hubungan baiknya dengan BGM, Aida berkata, pengawal peribadinya daripada persatuan itu.
“Saya menggunakan khidmat mereka awal tahun ini. Saya berpuas hati dengan kerja mereka dan hubungan kami baik,” katanya.
Menyentuh sambutan Ramadan tahun ini, Aida membawa adik-beradik dan anak saudara berbuka puasa di beberapa hotel sekitar Kuala Lumpur.
“Selalunya saya akan bawa mereka berbuka puasa di luar pada hujung minggu. Setiap minggu kami akan pergi ke hotel berbeza. Bukan selalu dapat meluangkan masa dengan mereka,” katanya.
Bagi pelakon, Ammar Alfian pula, pembabitannya dalam acara itu sedikit sebanyak mengubat kesunyian hati sekali gus menjadikannya lebih bersyukur dengan apa yang dimiliki.
“Memandangkan saya anak tunggal, peluang bersama anak-anak yatim sangat menyeronokkan. Apabila anak-anak ini berkongsi cerita, saya rasa dekat dengan mereka.
“Saya puji sikap mereka yang menghormati orang tua serta bijak bergaul. Walaupun ada yang masih malu-malu, mereka cepat menyesuaikan diri,” katanya.
Sementara itu, heroin drama PGL-Aku Telah Jatuh Cinta, Atikah Suhaime menzahirkan rasa teruja apabila dapat berbuka bersama anak-anak yatim.
“Sudah banyak majlis yang membabitkan anak yatim saya hadiri. Seronok dapat meluangkan masa bersama mereka.
Walaupun sekadar memeriahkan majlis, kehadiran saya dan rakan artis lain diharap mampu mengubat kesunyian mereka.
“Saya percaya anak-anak terbabit juga seronok. Sumbangan daripada persatuan BGM dan A Aida Production sedikit sebanyak meringankan perbelanjaan menjelang hari raya,” katanya.
-Metro