
Toulouse: Penjaring gol Itali kelahiran Brazil, Eder (gambar) menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Sweden 1-0 semalam sekali gus mencetuskan kontroversi yang menyelubungi bola sepak negara itu sejak berdekad.
Sejak pemain asing menjadi pilihan utama dalam pasukan kebangsaan, timbul perdebatan sama ada mereka berhak menyarung jersi negara itu.
Ketika negara lain sudah boleh menerima pemain asing yang layak bermain mengikut peraturan kerakyatan FIFA, beberapa rakyat Itali masih menentang.
Malah, untuk kejohanan ini, kritikan dilemparkan terhadap jurulatih Antonio Conte kerana menyenaraikan wira Eder selain pemain tengah Thiago Motta yang juga dilahirkan di Brazil.
Jurulatih Eder di Inter Milan, Robert Mancini, dipetik sebagai berkata ‘oriundi’ sepatutnya tidak dipilih kerana “pasukan kebangsaan Itali harus diwakili rakyat Itali.”
Eder membalas dengan berkata ‘kontroversi itu sepatutnya tidak wujud’ tapi bersetuju yang “jika anda bertanya 10 orang, lima mungkin berkata mereka bersetuju dan lima menentang.”
Di bawah Mancini, Eder bukan sentiasa menjadi pilihan utama Inter, tetapi dia tidak pernah berputus asa untuk menyarung jersi Itali.
“Ketika saya tidak banyak bermain untuk Inter, saya berlatih dan bekerja keras di rumah bagi memastikan saya sudah bersedia untuk Euro,” katanya.
Sebaik gol itu dijaringkan, sorakan gembira tercetus di dalam dan luar padang sekali gus membuktikan kenyataan Eder yang skuad Azzurri untuk kejohanan ini antara yang paling bersatu.
“Mungkin tidak semua yang menjangkakan kami menang dua perlawanan tapi melalui kerja keras dan usaha tidak mengenal penat lelah, kami berupaya melakukannya,” katanya.
-Harian Metro