
BANDARAYA MELAKA – Peranan yang dimainkan masjid dan surau di negeri ini tidak pernah dipinggirkan kerajaan negeri dalam usaha Melaka menuju ke fasa kedua kemajuannya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, seluruh masjid di negeri ini telah mula dibekalkan dengan kemudahan wifi percuma bermula tahun lalu menerusi program e-masjid.
Menurutnya, selain memudahkan pihak masjid dan orang ramai, ia turut sebagai satu usaha menyahut seruan kerajaan dalam pembentukan e-komuniti serta merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Bukan itu sahaja, kerajaan negeri turut membekalkan komputer dan pencetak untuk masjid-masjid di negeri ini dalam usaha kita memasyarakatkan masjid,” katanya semasa penyampaian sumbangan hari raya kepada pegawai-pegawai syarak parlimen Tangga Batu dan sidang seluruh Melaka di Masjid Cina Al-Muttaqin, di sini semalam.
Pada majlis itu, seramai 237 pegawai syarak dan 244 sidang menerima sumbangan dari Idris.
Selain itu, sumbangan turut diserahkan kepada 188 ahli jawatankuasa masjid seluruh Melaka serta sumbangan bantuan utiliti tahunan kepada 181 masjid kariah di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).
Dalam pada itu, Idris berkata, kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dan Jaim akan mengadakan anugerah pentadbiran, kebersihan dan keceriaan masjid sempena sambutan Maulidur Rasul akhir tahun ini.
Menurutnya, ini adalah sebagai salah satu usaha menggalakkan masjid di negeri ini meningkatkan tahap pentadbiran dan kebersihan sejajar dengan statusnya sebagai rumah ibadah.
Pada masa sama, katanya, Maim akan sentiasa mengadakan audit dan semakan akaun masjid-masjid bagi membantu meningkatkan tahap kecekapan tadbir urus kewangan mereka.
“Saya yakin komitmen dari semua, termasuk dari anak kariah dan masjid-masjid di negeri ini akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan ummah di Melaka,” katanya.
-Sinar Harian