
Kuala Lumpur: Misi Selangor untuk merebut kejuaraan Liga Super musim ini bakal bergantung kepada keputusan pertemuan dengan FELDA United di Stadium Shah Alam malam ini.
Ketinggalan 10 mata dengan pendahulu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan lapan mata di belakang FELDA United meletakkan Selangor yang menghuni tangga ketiga menerusi kutipan 26 mata dalam situasi tidak boleh kalah pada perlawanan ke-15 liga.
Ini kerana agak mustahil untuk skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu mengejar dua pasukan teratas itu jika terus keciciran mata.
Keputusan seri dalam dua perlawanan terakhir 3-3 dengan Kelantan pada aksi Piala Malaysia dan 1-1 menentang Pulau Pinang dalam saingan Liga Super pasti mencipta resah kem Red Giants.
Bagaimanapun bagi pemain pertahanan Razman Roslan, dia berharap kebangkitan semula rakan sepasukan untuk terus berjuang sehingga ke penghujung saingan liga.
“Saya akui momentum pasukan agak terjejas ekoran kegagalan mencatat kemenangan dalam dua aksi terakhir.
“Namun, saya lihat prestasi yang dipamerkan oleh rakan sepasukan masih lagi positif cuma kami tidak bernasib baik,” katanya.
Berdasarkan prestasi semasa, Selangor berdepan halangan sukar untuk menjinakkan FELDA United yang tidak pernah kalah dalam lima perlawanan terakhir liga.
Malah dalam pertembungan kedua-dua pasukan pada pusingan pertama liga di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 8 April lalu menyaksikan anak buah Zainal tersungkur 1-3.
“Sekiranya kami melaksanakan apa yang cuba diterapkan oleh jurulatih selain memanfaatkan peluang yang terhidang, saya yakin Selangor akan meraih kemenangan esok (hari ini),” kata Razman.-harian metro