
SUNGAI PETANI: Warga Tentera Darat diingatkan supaya tidak terjebak dengan permainan Pokemon GO khususnya di kawasan kem kerana ia dikhuatiri mencetus risiko ancaman.
Panglimanya, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, berkata walaupun belum ada arahan rasmi mengenai larangan itu dikeluarkan pihaknya mengenai permainan itu, pihaknya berharap warga tentera darat tidak terjebak dengan Pokemon GO yang menjadi kegilaan masyarakat ketika ini.
Beliau berkata, buat masa sekarang, kajian teliti sedang dilakukan mengenai tahap ancaman dan bahaya permainan itu ke atas fasiliti milik tentera di seluruh negara terutama mengenai teknologi Pokemon GO yang dapat memaparkan gambar sekitar lokasi permainan itu.
“Setakat ini permainan Pokemon GO dilihat boleh menjejaskan kawasan milik tentera, namun kajian sedang dilakukan…jadi anggota tidak digalak sama sekali bermainnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Perbarisan Persaraan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEVATM), Datuk Md Noor Daud, di Padang Kawad 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanise) di Kem Lapangan Terbang di sini.
-Berita Harian