
KUALA LUMPUR: “Lebih mudah untuk kita kenal pasti musuh dalam parti apabila mereka (Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Mahathir Mohamad) wujudkan parti sendiri.
“Selepas ini, jika ada ahli dalam Umno yang mahu menyertai mereka, kita anggap ia sebagai satu bentuk pemutihan dalam Umno,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.
Beliau berkata, perkara itu memberi kelebihan kepada Umno kerana tidak perlu berdepan musuh dalam selimut yang menjadi cabaran besar perjuangan parti.
Menurutnya, sebelum tertubuhnya parti baharu itu, dapat dilihat, penyerang kepimpinan Umno adalah dari dalam sendiri iaitu mereka yang masih memegang jawatan penting dalam parti.
“Kalau perkara ini dibiarkan dulu, tentu parti akan hadapi masalah dalam PRU. Tapi alhamdulillah, parti mengambil tindakan dan mereka tidak ada lagi dalam parti.
“Mungkin ada dalam kalangan kumpulan yang kecewa dalam Umno akan sertai mereka dan sebagainya, kita tidak tahu. Tetapi lebih mudah kita menghadapi mereka di luar daripada menghadapi mereka dari dalam dan sebagainya.
“Saya harap lepas ini, lepas mereka keluar dan tubuh parti baru, mungkin ada yang mengikut mereka, jadi saya kira ia satu pemutihan dan yang ada dalam Umno adalah orang setia pada perjuangan parti,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Sayap Umno Lembah Pantai.
Ismail Sabri turut optimis Umno Bahagian Lembah Pantai mampu merampas kembali kerusi parlimen yang jatuh ke tangan pembangkang sejak dua penggal lalu.
-Sinar Harian