
SELAMA: Seramai 21,074 pelajar di seluruh negara yang layak melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah di Universiti Awam telah menerima waran Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) daripada pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN).
Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebanyak RM31.61 juta diperuntukan untuk tujuan tersebut yang mana ia telah mula diberikan pada hari ini.
Jelasnya, daripada jumlah tersebut sebanyak RM3.3 juta telah diperuntukan untuk 2,202 pelajar di negeri Perak.
“Pada majlis hari ini, PTPTN telah memperuntukan sebanyak RM334,500 untuk 223 pelajar di kawasan Larut,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Mesra Pelajar Bersama PTPTN dan BAIDURI di sini, hari ini.
Majlis telah dirasmikan oleh isteri Menteri Besar merangkap Yang Dipertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli.
Ujarnya, sehingga 9 Ogos 2016, sebanyak 821,713 waran WPP telah ditunaikan dengan melibatkan jumlah sebanyak RM1.21 bilion.
Tambah beliau lagi, pemberian waran WPP sebanyak RM1,500 seorang itu adalah usaha PTPTN untuk memastikan bahawa tiada pelajar yang tidak boleh masuk ke universiti kerana masalah kewangan.
“Dengan wang pendahuluan yang diberikan ini dapat membantu bakal mahasiswa dan ibu bapa untuk membuat persiapan bagi melangkah ke menara gading.
“Saya juga berharap agar WPP yang diterima ini digunakan sebaik mungkin terutama untuk membantu para pelajar memulakan sesi pengajian mereka di alam kampus nanti,” katanya lagi.


