
KAMPUNG RAJA – Sebuah bangsal yang terletak di Bukit Sungai Limau, Jabi, di sini bukan sahaja dipercayai menjadi pusat pengedaran dadah, malah kawasan halamannya juga turut menjadi kebun kecil untuk aktiviti penanaman pokok ketum.
Kegiatan yang dipercayai dilakukan lelaki berusia 31 tahun itu terbongkar hasil maklumat orang awam dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah Besut yang menjalankan operasi khas pada jam 2.40 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sepasukan polis diketuainya sendiri telah membuat serbuan di bangsal tersebut dan berjaya memberkas suspek pertama berusia 36 tahun.
Menurutnya, berlaku pergelutan ketika polis cuba menahan lelaki itu sebaik sahaja dia keluar dari sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitshubishi Pajero berhampiran bangsal itu.
“Polis yang melakukan pemeriksaan dalam kenderaan tersebut menemui dan merampas satu straw dipercayai berisi dadah jenis syabu,” katanya.
Operasi itu disertai Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hasan dan Ketua BSJND, Asisten Superintendan Ahmad Yanee Nazir.
Mohd Zamri berkata, pemeriksaan dalam bangsal pula menahan suspek kedua dan merampas tujuh paket dipercayai dadah jenis syabu, 12 biji pil kuda dan satu tiub straw serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin.
“Dalam serbuan itu juga, polis merampas sebuah Pajero dan dua buah motosikal masing-masing jenis Yamaha Spot serta Honda EX5 dipercayai kesemuanya kenderaan curi berikutan nombor casis kenderaan telah diganggu,” katanya.
Dalam operasi sama, polis turut memusnahkan kira-kira 30 pokok ketum berusia lebih dua bulan ditanam di tanah yang diterokai secara haram berhampiran kawasan ladang kelapa sawit di sekitar bangsal tersebut.
“Polis tidak menolak kemungkinan suspek kedua itu menanam pokok ketum untuk tujuan memproses daunnya dan dijual kepada penagih di kawasan terbabit,” katanya.
Tambahnya, operasi tersebut merupakan kes memusnahkan pokok ketum pertama di Besut sepanjang tahun ini membabitkan jumlah pokok yang agak banyak.
“Siasatan awal terhadap suspek pertama yang beralamat di Kampung Kuala Kubang, Jabi itu mendapati dia mempunyai tiga rekod lampau berkait kesalahan dadah.
“Suspek kedua juga didapati mempunyai satu rekod lampau bagi kesalahan dadah dan saringan awal air kencing terhadap kedua-dua mereka mendapati positif dadah pil kuda,” katanya kepada Sinar Harian.
Mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) dan 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1953.
-Sinar Harian