Quantcast
Channel: The Malaysian Times
Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Kemas tingkat pendapatan golongan luar bandar

$
0
0
image-6

BERA – Transformasi Pendidikan Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang dilancarkan hari ini menggariskan empat strategi utama untuk meningkatkan kecemerlangan modal insan luar bandar ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, transformasi pendidikan itu juga sebagai usaha meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar menerusi langkah pemantapan kemahiran modal insan.

“Di sini kita mahu masyarakat luar bandar yang sering kali terlibat dengan aktiviti ekonomi secara tradisional seperti dalam pertanian supaya lebih menceburkan diri dalam program keusahawanan,” katanya selepas melancarkan transformasi pendidikan itu sempena perasmian Karnival KEMAS4U Semarak Desa peringkat negeri 2016 di sini hari ini.

Beliau berkata strategi pertama ialah mengadakan Kursus Kemahiran Jangka Pendek ‘Quick Win’ yang dilaksanakan selama satu hingga tiga hari yang boleh memberikan kesan segera kepada pelatih memulakan perniagaan untuk menjana pendapatan.

“Selepas tamat kursus ini, pelatih terbabit akan diberikan peralatan perniagaan secara percuma bagi memulakan perniagaan tersebut,” katanya.

Ismail Sabri berkata strategi kedua pula ialah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sebagai Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mana Kemas telah meningkatkan taraf sijil kemahiran pelatih yang membolehkan mereka berpeluang melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).

Kemahiran Keusahawanan Atas Talian pula katanya merupakan strategi ketiga yang menggalakkan masyarakat luar bandar melibatkan diri dengan perniagaan dalam talian yang tidak memerlukan modal tinggi dengan cara meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknologi mengikut peredaran zaman.

“Pelaksanaan strategi keempat dalam transformasi pendidikan ini pula adalah Tenaga Pengajar Yang Diiktiraf iaitu memberikan peluang kepada tenaga pengajar Kemas sedia ada mempertingkatkan profesionalisme masing-masing.

“Semua tenaga pengajar kemahiran Kemas diiktiraf dengan SKM, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

Beliau berkata seramai 3,000 peserta disasarkan menjadi peserta kursus kemahiran yang dilaksanakan dalam transformasi pendidikan itu sehingga penghujung tahun ini.

Katanya, kesemua kursus kemahiran itu terbuka kepada orang ramai yang berumur 18 hingga 50 tahun dan pendaftaran untuk menyertai kursus berkenaan boleh dibuat di pejabat Kemas daerah di seluruh negara.

– Bernama


Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Trending Articles