
REMBAU – Generasi muda hari ini disaran supaya? menceburkan diri dalam bidang keusahawanan digital yang mampu memberikan mereka pendapatan yang lumayan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan telah menyediakan pelbagai program antaranya e-Usahawan dan e-Rezeki bagi membantu golongan ini, khususnya dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Sebenarnya ramai yang hanya melihat kepada bantuan kebajikan sahaja dan mengatakan kerajaan hanya bagi ‘ikan’ sahaja dan tak ajar memancing sedangkan kita banyak program seperti program keusahawanan ini, cumanya tidak ada usaha daripada ramai orang muda.
“Saya harap lebih ramai orang muda ketepikan segala alasan dan libatkan diri dalam program keusahawanan seperti ini yang boleh menambah pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program e-Usahawan Bootcamp di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong, anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dekat sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MDeC Datuk Yasmin Mahmood.
Sementara itu, Yasmin berkata tahun ini pihaknya telah melatih seramai 83,000 usahawan digital di seluruh negara menerusi program e-Usahawan dan e-Rezeki dan menyasar melatih 17,000 lagi usahawan menjelang hujung tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan yang dilatih sebanyak 100,000 orang.
“Sambutan memang luar jangkaan setiap kali kami turun ke kawasan-kawasan…mereka ini datang untuk belajar apa itu e-Rezeki dan apa itu e-Usahawan.
“Sudah ramai yang telah berjaya menerusi kedua-dua program itu. Ini adalah peluang yang diberikan kerajaan kepada rakyat dan kalau mereka tak ambil peluang ini, memang rugi,” katanya.
– Bernama