IPOH: Universiti Sultan Azlan Shah ( USAS) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan tiga universiti dari Indonesia, institut dan sebuah stesen TV tempatan iaitu Al Hijrah.
Naib canselor USAS, Prof Dr Tan Sri Nordin Kardi berkata kerjasama ini merupakan hasil perbincangan USAS bersama Persatuan Universiti Islam Asia sebelum ini.
“Usahasama ini melibatkan pelbagai perkara bergantung kepada empat bidang utama iaitu pengajaran, penyelidikan,penerbitan dan kemahasiswaan,” katanya kepada pemberita selepas mewakili USAS dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama wakil universiti dan agensi terpilih di sini pada malam Selasa.
Ujarnya lagi, antara pendekatan yang akan digunakan adalah seperti pertukaran para pensyarah juga pelajar antara universiti yang terlibat.
Malah tambahnya lagi kerjasama dengan TV Alhijrah pula melibatkan bidang penerbitan iaitu tv digital USAS selain daripada penyediaan bagi latihan industri para pelajar.
Kerjasama kali ini diantara USAS dengan Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah (Jakarta), Universiti Islam Negeri Wallsongo Semarang ( Indonesia), Out Bound Trust of Malaysia, Institut Medina dari South Africa serta stesen TV Al Hijrah.
Terdahulu berlangsung forum yang bertajuk “Love, Peace vs Hatred and Extremism” oleh empat para panel ilmuan terdiri daripada Shaykh Muhammad, Al-Ninowy, Dr.Bilal Philips, Lauren Booth dan Tan Sri Dr.Surin Pitsuwan.
Majlis tersebut dianjurkan bersempena The 3rd WorldConference on Islamic Thought and Civilization (WCIT 2016) yang bertemakan ‘Future World’ yang berlangsung di Ipoh hari ini.
Hadir menyaksikan majlis memorandum berkenaan iaitu Menteri Besar,Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Zambry dalam ucaptama sebenar tadi turut menegaskan bahawa usaha menjadikan negeri ini sebagai pusat ilmu sentiasa menjadi keutamaan sehingga kini.
“Kita akan tetap meneruskan pembangunan dan usaha dalam mempromosikan pelbagai idea dan ilmu menerusi negeri ini,” katanya.