KUALA LUMPUR – Malaysia menggunakan secara optimum keanggotaannya di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengetengahkan prinsip pemeliharaan keamanan dan keselamatan berteraskan kesederhanaan dan rundingan secara damai.
Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 2015 hingga 2016, Malaysia telah menduduki Kerusi Presiden Majlis Keselamatan PBB pada Jun 2015 dan Ogos 2016.
“Antara inisiatif yang diketengahkan semasa menjadi presiden adalah debat terbuka mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata selain taklimat terbuka dan dialog interaktif tidak rasmi mengenai pembangunan keamanan,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) mengenai sumbangan dan pencapaian Malaysia sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Reezal Merican juga berkata Malaysia berjaya melaksanakan debat terbuka mengenai Ketakcambahan Senjata Pemusnah Besar-besaran (WMD) yang berjaya meningkatkan kesedaran berhubung ancaman percambahan WMD kepada pelaku bukan negara dan iltizam negara anggota PBB untuk bekerjasama menangani ancaman itu.
Katanya Malaysia juga telah mempengerusikan tiga mesyuarat rasmi mengenai situasi di Gaza pada Julai 2015, isu perlindungan penduduk Palestin pada Mei 2016 dan penempatan haram oleh Israel pada awal bulan ini.
“Mesyuarat-mesyuarat tidak rasmi itu adalah sumbangan Malaysia di Majlis Keselamatan PBB bagi menjamin isu Palestin sentiasa diberi perhatian dan perlu penyelesaian menyeluruh,” katanya.
– Bernama