SUNGKAI: Seorang lelaki warganegara Singapura dikhuatiri lemas setelah terjatuh semasa menjalankan aktiviti berkayak di Sungai Tesong, Felda Sungai Klah, di sini, pada Sabtu.
Menurut sumber, pihak penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor telah menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 4.48 petang semalam.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar seorang mangsa, Koh Kah Wei, 30, yang merupakan warganegara Singapura telah terjatuh semasa beliau melakukan aktiviti berkayak.
“Pasukan bomba membuat pencarian melalui ‘Surface Searching’ di kawasan mangsa jatuh dan ditebing sungai,”kata sumber.
Ujarnya lagi, keadaan air deras dan paras air yang semakin meningkat akibat hujan menyukarkan lagi operasi pencarian.
Kata sumber lagi, pihak bomba juga telah membuka pusat operasi dan usaha mencari mangsa yang dikhuatiri lemas diteruskan sehingga pagi ini.