SUBANG JAYA: Dua suspek masing-masing dikehendaki polis dan mempunyai rekod jenayah lampau diberkas selepas kereta dinaiki kedua-duanya merempuh pengadang jalan di bulatan Persiaran Jengka, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kedua-dua lelaki berusia 33 tahun sebelum itu cuba melarikan diri daripada anggota polis peronda yang meminta mereka memberhentikan kereta untuk pemeriksaan cegah jenayah.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi, pemandu kereta memecut kenderaannya dan cuba melarikan diri namun keretanya terhenti selepas terbabas dan melanggar pengadang jalan di bulatan Persiaran Jengka menuju ke Lebuhraya Pantai Baharu (NPE).
Seorang daripada suspek cuba melarikan diri selepas meluru keluar dari kenderaan namun diberkas beberapa minit selepas itu di SS17.
“Hasil pemeriksaan mendapati, seorang daripadanya masih dikehendaki polis bersabit kes dadah manakala seorang lagi yang baru dibebaskan dari penjara mempunyai empat rekod jenayah lampau.
“Anggota Balai Polis Subang Jaya menemui sebuah beg mengandungi sejumlah dadah dipercayai milik suspek yang dilempar di sebuah stesen minyak berdekatan,” katanya.
Polis katanya masih meneruskan siasatan untuk mengenalpasti mengapa suspek berlegar-legar di kawasan Subang Jaya pada waktu kedua-duanya ditahan.
-Sinar Harian