Quantcast
Channel: The Malaysian Times
Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Dua Penarik Kereta Ditahan

$
0
0

JOHOR BAHRU: Dua individu berjaya ditahan, kelmarin selepas dipercayai terlibat dalam kes pemerasan untuk menarik kereta yang dinaiki sebuah keluarga dalam kejadian berhampiran hentian susur keluar Plaza Tol Tangkak lebuhraya utara selatan, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Ledang, Deputi Superintendan Zainal Mohamed berkata, dua lelaki berusia 39 dan 53 tahun ditahan di sekitar Tangkak pada awal pagi semalam iaitu beberapa jam selepas laporan dibuat oleh pengadu.

“Sebaik sahaja menerima laporan, kita telah menjalankan siasatan dan berjaya menahan dua suspek dan turut menyita sebuah kereta jenis Proton Waja dinaiki mereka.

“Kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan direman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, dalam kejadian berkenaan sebuah keluarga yang dalam perjalanan ke Melaka didekati dua lelaki yang memperkenalkan diri sebagai penarik kereta dan mendakwa diarahkan menarik kereta keluarga itu kerana mempunyai bayaran tertunggak.

“Ketika kejadian keluarga berkenaan yang berhenti untuk ke tandas telah didekati dua lelaki yang mendakwa mereka diarah menarik kereta keluarga itu. Namun sebaik sahaja pihak polis peronda lebuhraya tiba di lokasi kejadian suspek mendakwa mereka tersilap menahan kereta berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati berlaku insiden pemerasan terhadap keluarga itu hingga menyebabkan ketakutan kepada mereka walaupun bapa pengadu telah menjelaskan bahawa kenderaannya tidak mempunyai tunggakan,” katanya.

Zainal berkata, kedua-dua suspek didapati mempunyai surat lantikan sebagai penarik kereta dari sebuah bank namun pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi menyemak kesahihan surat lantikan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan individu penarik kereta atau mana-mana agensi berkaitan agar tidak menggunakan kekerasan bagi menjalankan tugas mereka sebaliknya perlu bertindak secara profesional mengikut undang-undang.

“Kekerasan dan pemerasan adalah menyalahi undang-undang dan tindakan ini tidak termaktub dalam peruntukan walaupun mereka ditugaskan menarik kereta,” katanya.

Terdahulu, kejadian sebuah keluarga ditahan dua penarik kereta berhampiran hentian susur keluar Plaza Tol Tangkak mula menjadi ‘viral’ dan mendapat perhatian ramai selepas salah seorang ahli keluarga mangsa memuat naik wajah suspek di Facebook.

-Sinar harian


Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Trending Articles