TELUK INTAN: Sikap peniaga yang enggan meletakkan tanda harga warna merah jambu menyebabkan 12 kompaun dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) cawangan Teluk Intan sepanjang Skim Kawalan Harga sepanjang musim perayaan Aidilfitri.
Ketua Cawangan, Akram Karim Mohamad Karim berkata, pihaknya tidak akan berkompromi kepada mana-mana peniaga yang melanggar peraturan ditetapkan semata-mata untuk mengaut keuntungan.
Menurutnya, ini kerana skim kawalan harga musim perayaan telah lama dijalankan dan peniaga sepatutnya mengetahui peraturan berkenaan.
“Sebagai contoh, apabila kami membuat pemeriksaan di kedai pada hari ini mereka ada letak tanda harga warna merah jambu, esok lusa mereka (peniaga) tidak akan letakkan tanda harga walaupun sudah tahu perlu meletakkannya setiap kali skim kawalan harga.
“Kini, kami tidak lagi beri amaran sebaliknya, memberikan kompaun terus sebagai menunjukkan kami serius,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Aidilfitri KPDNKK Cawangan Teluk Intan, di sini, semalam.
Akram Karim berkata, pada kali ini, pihaknya mengeluarkan kompaun bernilai RM1,350 kepada 12 peniaga di seluruh Daerah Hilir Perak.
Selain itu, pihaknya turut merampas barang kawalan yang tidak diletakkan tanda harga warna merah jambu bernilai RM291.28.
“Pada tahun ini, jumlah kompaun meningkat berbanding tahun lalu iaitu hanya mencatatkan satu kompaun,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama pengguna diperlukan untuk memaklumkan kepada pihak kementerian mengenai aduan atau penyelewengan harga melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 32255, talian bebas tol 1-800-886-800 atau aman web KPDNKK atau berhubung dengan pejabat KPDNKK berhampiran
-Sinar Harian