LONDON: John Terry kini bimbang akan diketepikan oleh Jose Mourinho selepas disisihkan daripada berlatih bersama pasukan utama Chelsea, sebelum mereka tewas 3-0 kepada Manchester City pada Ahad lalu.
Kapten skuad The Blues itu pada awalnya digantikan dengan pemain pertahanan tengah berusia 20 tahun, Kurt Zouma tatkala Mourinho sedang menimbangkan cara terbaik untuk mengekang pergerakan Sergio Aguero di Stadium Etihad.
Mourinho menggandingkan Zouma dengan Gary Cahill sehinggalah pada saat akhir menukar fikiran pada Jumaat dengan memasukkan semula Terry.
Pengurus Chelsea itu lazimnya lebih sistematik dalam pendekatannya bagi menghadapi aksi penting, dan skuadnya tidak ragu-ragu dia akan sedia membuat perubahan besar dalam pemilihan pemain.
Zouma bagaimanapun digantikan oleh Terry pada separuh masa tempoh hari, sekali gus menimbulkan suasana tegang di padang latihan selepas permulaan mengecewakan Chelsea seminggu sebelum itu.
Terry, 34, sebelum ini dilapor berang selepas dikeluarkan pada minit ke-82 ketika saingan Piala Perisai Komuniti di Wembley yang menyaksikan mereka tewas 1-0 kepada Arsenal.
Meskipun masa depannya yang tidak menentu, Terry tetap melaungkan azam untuk merebut semula tempatnya tatkala Mourinho bersiap untuk berangkat ke West Brom pada Ahad ini bagi aksi ketiga. – AGENSI
– http://www.bharian.com.my