IPOH: Sebanyak 186,684 kompaun telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui aplikasi mobile-k@MBI sejak dilaksanakan pada 1 Januari 2013 hingga 7 Ogos 2015.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, sejumlah RM5.38 juta kompaun telah dikenakan semenjak aplikasi tersebut diperkenalkan.
“Bagi Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan (Bahagian Penguatkuasaan), sebanyak 186,596 kompaun telah dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM5,380,151.
“Manakala bagi Pelesenan dan Penguatkuasaan (Bahagian Pelesenan), bilangan kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak 39 kompaun dengan nilai sebanyak RM1,750.
“Bagi jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran (Bahagian Pasar), jumlah kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak 49 dan nilainya adalah sebanyak RM2,950,”katanya, menerusi kenyataan tersebut.
Selain itu, MBI turut memaklumkan bahawa pihaknya akan meneruskan pengeluaran kompaun dengan menggunakan ‘handheld’ seperti yang dilakukan sebelum ini.
Bagaimanapun, MBI bercadang untuk beralih sepenuhnya kepada aplikasi mobile-k@MBI bagi pengeluaran kompaun setelah aplikasi tersebut ditambahbaik serta bekalan telefon pintar dan pencetak mobile disediakan.
Mobile-k@MBI telah diperkenalkan pada 2013 dimana anggota penguatkuasa yang terlibat dengan tindakan penguatkuasaan dapat mengeluarkan kompaun secara serta-merta di lapangan menerusi komputer tablet.
“Pada mulanya kompaun yang dikeluarkan dengan mobile-k@MBI adalah berkaitan kesalahan lalulintas dan meletak kereta.
“Ianya kemudian diperluaskan kepada pengeluaran kompaun bagi kesalahan berkaitan Undang-Undang Kecil iaitu iklan, pasar dan lesen,” katanya.
Untuk menjadikan aplikasi tersebut lebih effektif, MBI telah beralih dari penggunaan komputer tablet kepada telefon pintar.