KEMAMAN – “Lepas dengar dentuman kuat, saya meluru ke arah mangsa namun dia dah tak bernyawa,” kata saksi yang melihat seorang nelayan, Muhamad Karami Rosli, 29, maut digilis lori tanah, lewat petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang di laluan masuk ke Stesen Minyak Petronas Kijal, Kilometer 136 Jalan Lama Kuala Terengganu-Kuantan itu, mangsa meninggal dunia dalam keadaan dirinya terbalik bersama motosikal dinaiki.
Suhaimi Ismail, 43, berkata, nahas menyayat hati itu betul-betul berlaku di hadapan matanya kerana ketika itu dia sedang memaku papan dinding kedainya yang rosak dan kedainya itu terletak berhadapan stesen minyak itu.
Menurutnya, ketika kejadian terdapat kira-kira lima buah lori sedang beratur di laluan masuk ke stesen minyak itu untuk mengisi diesel.
“Hanya kalimah Allahuakhbar mampu saya ucapkan saat lihat keadaan mangsa. Kepalanya digilis tayar lori dan kecederaannya sangat parah.
“Saya kemudian hubungi Balai Polis Kijal untuk dapatkan bantuan memandangkan ketika itu jalan juga agak sibuk,” katanya yang juga bekerja sebagai pengurus insurans ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mangsa baru selesai jual ikan
Semasa kemalangan berlaku, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang masih bayi menunggang motosikal untuk kembali semula ke rumahnya di Kampung Darat
Penunjuk Kijal yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian selepas selesai membuang sampah.
Difahamkan sebelum kejadian, mangsa baru selesai menjual ikan yang diperolehnya selepas turun memukat pada waktu pagi. Sejak Mei lalu mangsa bekerja buat sementara waktu sebagai nelayan selepas syarikat minyak dan gas tempatnya bekerja secara kontrak menutup operasi (shutdown) buat seketika.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Pemangku Superintendan Mohd Said Ibrahim yang mengesahkan kejadian itu berkata, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku akibat motosikal jenis Yamaha Lagenda ditunggang mangsa terlanggar belakang sebelah kiri lori jenis Hino yang sedang membelok masuk untuk ke stesen minyak.
Katanya, ekoran itu mangsa terjatuh bersama motosikal lalu digilis tayar belakang sebelah kiri kenderaan berat itu.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut kes itu masih dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat,” katanya.
Jenazah kemudiannya dituntut ahli keluarga lebih kurang jam 10.10 malam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Penunjuk, Kijal.
-Sinar Harian